Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian tegas kerajaan untuk tidak melindungi sesiapa pun jika benar audit forensik oleh Ketua Audit Negara dan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati ada unsur penyelewengan.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri mahu tahu apakah benar dana 1MDB disalahgunakan untuk membiayai pembikinan filem.

“Saya minta Ketua Audit Negara tolong sahkan, ada atau tidak dana 1MDB ini disalahgunakan untuk membuat filem umpamanya, saya nak tahu.

"Ini antara perkara-perkara yang mesti ditentukan oleh laporan Ketua Audit Negara dan seterusnya disahkan atau pun sebaliknya oleh PAC,” katanya ketika ditemubual dalam program Edisi Khas Soal Jawab TV3, yang turut disiarkan menerusi Astro AWANI malam ini.

Najib juga berkata beliau tidak boleh bertolak ansur dan tidak boleh menerima kalau ada apa-apa salah guna kuasa dalam 1MDB.

"Saya juga mahu tegaskan bahawa saya tidak bertolak ansur dan saya tidak boleh menerima kalau ada apa-apa salah guna kuasa dalam 1MDB, misalnya jika ada duit dilesapkan atau diseleweng dan sebagainya," katanya lagi.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata walaupun pengauditan syarikat telah disahkan oleh firma audit Deloitte, beliau masih tidak berpuas hati.

"Sebab itu apabila Deloitte sebagai juruaudit telah pun mengesahkan auditnya, saya masih tak puas hati.

"Saya telah bawa cadangan kepada Kabinet supaya Ketua Audit Negara menyemak balik secara terperinci. Setelah Ketua Audit Negara menyemaknya, saya minta PAC pula menelitinya," katanya.

Menurut Perdana Menteri, PAC turut dianggotai oleh pihak pembangkang dan mereka boleh membincangkan hasil laporan Ketua Audit Negara.

Sehubungan itu, kata Najib, apa yang penting ketika ini adalah membiarkan proses itu berjalan.

"Bagilah tempoh sebab ada banyak bezanya jika kita dakwa ada duit telah dilesapkan atau adanya pinjaman," katanya.