Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur atau ESSZONE di sepuluh kawasan di timur Sabah berkuatkuasa hari ini.

Najib berkata langkah tersebut diambil selepas menyedari kelemahan sesetengah kawasan yang mudah diceroboh oleh pendatang tanpa izin dan mereka yang tiada kerakyatan merupakan sebab utama pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.

Zon tersebut akan merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,400 kilometer dari Kudat ke Tawau.

"Dengan penubuhan jawatankuasa ESSZONE, kerajaan sedang mengamalkan dasar holistik dan bukan satu pendekatan tentera semata-mata untuk melindungi timur Sabah dan mencari penyelesaian kepada isu pencerobohan," kata Najib dalam ucapannya di pusat latihan polis (Pulapol) bersempena peringatan Hari Polis ke-206.

Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan ESSZONE di Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013, kata Najib.

Kawasan tersebut merangkumi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau. Pengumuman terbaru Najib merangkumi empat kawasan baru berbanding pengumuman beliau di Lahad Datu sebelum ini.



ESSZONE akan membentuk asas undang-undang untuk Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) berkuat-kuasa hari ini.

Najib juga berkata bahawa penubuhan ESSZONE bukanlah satu perisytiharan kecemasan.

Beliau berkata penubuhannya tidak akan menghalang pilihan raya diadakan atau penguatkuasaan peraturan dalam cara yang bebas, telus dan demokratik.

ESSZONE juga akan melindungi hak demokrasi dan proses demokrasi yang berkaitan dengan rakyat Sabah serta memperkukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan kemakmuran di timur Sabah.

10 daerah ini akan ditadbir oleh jawatankuasa Zon Keselamatan Timur Sabah, yang ditubuhkan di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013, dan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, katanya.

Ketua menteri, sebagai pengerusi, akan dibantu oleh pegawai eksekutif dan ahli-ahli jawatankuasa itu akan diumumkan kemudian, katanya pada perarakan sempena Hari Polis ke-206 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bahawa kawasan-kawasan ini telah diberikan "keutamaan" untuk memastikan keselamatan dan perlindungan rakyat di timur Sabah.

Beliau berkata bahawa polis, salah satu daripada agensi yang terlibat, akan menambah penempatan kakitangan di kawasan-kawasan ini, di mana beberapa stesen ESSZONE sudah pun dibina.

"Tidak akan ada batasan pergerakan di kawasan-kawasan ini, lebih penekanan diberi ke atas keselamatan sekarang," katanya.

Khalid berkata pemantauan yang lebih ketat dilakukan keatas sempadan untuk memastikan bahawa tidak akan ada penyusupan dari unsur-unsur pengganas dari selatan Filipina.

Sejak 9 Feb, kira-kira 200 pengganas bersenjata mendarat di Lahad Datu.

Pertempuran pengganas dan pasukan keselamatan Malaysia telah menyebabkan 67 kematian di pihak pengganas manakala 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia terkorban.

Minggu lepas, lapan lelaki didakwa atas kesalahan berkaitan keganasan di Sabah.

Manakala lebih dari 300 lagi yang ditahan kerana mempunyai kaitan kepada pengganas Sulu.