Kerajaan menegaskan bahawa harga siling topeng muka dan hidung yang ditetapkan pada kadar RM1.50 adalah rasional dan ia mengambil kira kos import.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian bagi mengulas reaksi persatuan farmasi yang mengharapkan kerajaan boleh memberikan subsidi bagi menampung kerugian mereka.

“Apabila kita mengimport kita sudah membuat pengiraan berapa kos sampai ke kedai mereka atau sampai ke mereka sebab itu kita buat keputusan (meletakkan harga siling) RM1.50.

“Walau bagaimanapun, pihak pengusahan tempatan ingin membuat rayuan, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada pihak Kementerian Kewangan kerana subdisi melibatkan (di bawah) kementerian tersebut.

“Setakat hari ini, harganya masih RM1.50 dan saya difahamkan rakyat mampu membeli dan rakyat berterima kasih kepada kerajaan kerana mengurangkannya daripada harga RM2,” demikian katanya dalam sidang media harian, pada Sabtu.

Terdahulu, harga siling topeng muka yang diturunkan kepada kadar RM1.50 berkuatkuasa pada fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April.

Bagaimanapun, media melaporkan beberapa persatuan farmasi melahirkan rasa kurang senang terhadap harga siling tersebut yang disifatkan tidak adil kepada komuniti ahli farmasi seluruh negara.

Justeru, persatuan farmasi berkenaan menuntut kerajaan memberi subsidi kepada farmasi-farmasi yang bakal berdepan kerugian akibat penurunan harga siling topeng muka dan hidung.