MEDIA sosial merupakan satu medan penyebaran berita yang sangat cepat dan mudah.

Dengan hanya satu klik, maklumat tersebut akan tersebar luas kepada semua pengguna media.

Apa yang lebih merungsingkan sekiranya terdapat penyebaran gambar mahupun video yang kita sendiri tidak ketahui kesahihannya.

Menurut Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, CyberSecurity Malaysia, Dr Aswami Fadillah Mohd Ariffin, terdapat beberapa analisis yang boleh dijalankan bagi menentukan video tersebut sahih atau palsu.

"Teknik paling mudah ialah menjalankan analisis terhadap bayang-bayang atau objek yang dipersoalkan dalam video tersebut dengan sumber cahayanya.

"Jika sumber cahaya dan objek tidak konsisten, berkemungkinan video tersebut adalah palsu," katanya kepada Astro AWANI.




Tambahnya, untuk memastikan ketulenan video tersebut, ia boleh ditentukan menerusi penilaian konsistensi kadar perubahan piksel warna pada setiap rangka video tersebut.

Perbezaan tahap piksel warna akan dapat dikesan sekiranya video tersebut mempunyai elemen "Super Imposed" atau kesan imej janaan komputer (CGI ).

Dr Asmawi juga menyatakan bahawa penting untuk dilakukan analisa forensik multimedia terhadap video dan audio bagi menentukan kesahihan sesuatu video tersebut agar tiada sebarang maklumat palsu disebarkan.