Serangan mercun terhadap pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar dipercayai adalah berunsurkan dendam yang didalangi sekumpulan warga Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh kumpulan yang berang terhadap pihak PGA yang melaksanakan tugas mereka mengikut undang-undang.

"Ini tindakan penyeludup yang tembak mercun hingga pecah cermin pos kawalan dan saya percaya warga PGA tidak gentar.

"Mereka ini marah hendak tunjuk siapa lebih berkuasa, dia hendak seludup air ketum dan diesel sudah tersekat," katanya dalam sidang media Op Khazanah di Bukit Aman pada Rabu.

Menurut Abdul Hamid lagi, pihaknya bimbang jika serangan seterusnya dilakukan menggunakan senjata api dan besar kemungkinan menyasarkan pos kawalan.

Susulan itu beliau telah mengusulkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri agar menambah baik aset PGA agar dibekalkan dengan kereta perisai yang baru agar rondaan dapat dilakukan dengan lebih selamat.

Mengulas mengenai anggota polis yang terlibat rasuah di kawasan sempadan itu, setakat ini seramai 43 anggota telah diambil tindakan.

Isnin lalu, kawasan pos kawalan 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran pagar sempadan di Padang Besar, diserang sekumpulan lelaki dipercayai warga Thailand, menggunakan mercun roket sehingga memecahkan cermin pos kawalan selain mengenai bahagian dinding.