Malaysia mengesahkan akan membuka Kedutaan untuk Palestin bagi membolehkan bantuan dan sokongan berterusan disalurkan kepada rakyat Palestin, yang kini berdepan kezaliman rejim Israel.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kedutaan tersebut akan ditempatkan di Jordan dan ditauliahkan kepada Palestin.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan sedar bahawa perkara itu bukan mudah dan sudah pasti Israel tidak membenarkan Malaysia membuka kedutaan di wilayah tersebut.

"Oleh itu, kami akan membuka kedutaan di Jordan. Ini akan membolehkan kami menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah.

"Tetapi Israel akan mencari jalan untuk memastikan tidak ada bantuan sampai ke Palestin.

"Ini jelas apa yang dikehendaki oleh rejim tersebut. Setiap hari, (Israel) berusaha mencengkam kehidupan rakyat Palestin dan satu pendekatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan adalah dengan merampas lebih banyak tanah rakyat Palestin sehingga mereka tidak memiliki apa-apa," kata beliau.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menegaskan, Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan Israel yang mendakwa Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka.

Malah, tambah beliau, perkara itu turut mendapat sokongan negara barat yang mengiktiraf keputusan tersebut, selain berjanji mahu memindahkan kedutaan masing-masing ke Baitulmaqdis.

"Malaysia tidak bersetuju dengan perkara ini. Kami menggesa negara Anggota NAM yang telah berpindah ke Baitulmaqdis atau merancang untuk berbuat demikian supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka," kata Dr Mahathir.

Setakat ini, terdapat lebih 30 pejabat diplomatik dan organisasi antarabangsa dibuka di Palestin sama ada di Ramallah atau Gaza.

Negara yang membuka pejabat di Ramallah kebanyakannya terdiri daripada negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Ketika ini, Palestin mempunyai kedutaan di Kuala Lumpur sementara Duta Malaysia ke Mesir ditauliahkan serentak ke Palestin.

Sidang Kemuncak NAM ke-18 yang diadakan di Azerbaijan bertemakan 'Berpegang Kepada Prinsip Bandung Bagi Memastikan Tindak Balas Konkrit dan Mencukupi Terhadap Cabaran Kontemporari Dunia'.