Nama Altantuya Shaariibu didapati beberapa kali ‘disebut’ dalam kontrak perkhidmatan selepas jualan dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

Peguam yang menyiasat kes skandal berkenaan, Apoline Cagnat mendakwa ia sedikit sebanyak memberi petunjuk bahawa penterjemah warga Mongolia itu berkemungkinan terlibat dalam skandal pembelian kapal selam Perancis.

“Kami tahu dia (Altantuya) datang (ke Perancis). Kami faham bahawa dia terlibat untuk menterjemah hal-hal dalam rundingan Scorpene ini.

“Peranannya dalam rundingan itu perlu diperjelaskan, tetapi namanya memang disebut,” katanya dalam sidang media di pejabat Suaram di sini pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel menjelaskan ‘kemunculan’ nama Altantuya beberapa kali dalam kontrak perkhidmatan selepas jualan itu telah menarik minat pihak berkuasa Perancis untuk menyiasat dengan lebih mendalam.

“Namanya beberapa kali muncul dalam siasatan pihak pendakwa raya Perancis dalam kontrak kedua (kontrak perkhidmatan selepas jualan).

“Mereka sebenarnya tidak berapa berminat mengikuti kes pembunuhan Altantuya, tetapi lebih kepada aliran kewangan yang membawa kepada kemungkinan rasuah dan korupsi,” jelasnya.

Altantuya dibunuh dan diletupkan dengan bahan letupan gred tentera pada 2006.

Pembunuhannya dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa terlibat dalam pembelian kapal selam buatan Perancis itu semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan pada 2002.