Calon Ketua Hakim Negara bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dipertimbangkan oleh Majlis Raja-raja.

Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang menjelaskan, buat masa ini kerajaan masih menanti kelulusan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja berhubung lantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.

"Nampaknya ada peruntukan yang memerlukan pelantikan itu dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja dan bukan kepada Agong sahaja.

"Kami (kerajaan) telah memaklumkan kepada Agong, tetapi terdapat keperluan untuk baginda memaklumkan perkara tersebut kepada raja-raja yang lain.

"Bagi pihak kerajaan, kami sudah selesai. Sekarang cuma tunggu keputusan dan kelulusan daripada Agong dan Majlis Raja-raja," katanya pada sidang media di Yayasan Albukhary, di sini hari ini.

BACA: Tempoh percubaan pesuruhjaya kehakiman maksimum dua tahun

Pada 12 April lalu, Richard telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara selepas mencapai usia bersara wajib iaitu 66 tahun enam bulan.

Beliau yang akan mencapai usia 67 tahun pada 13 Oktober ini, menjawat jawatan berkenaan selama sembilan bulan.

TONTON: Malanjum masih berahsia, enggan dedah pengganti

Tempoh perkhidmatan beliau sebelum ini dilanjutkan selama enam bulan, seperti yang dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Richard mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara pada 11 Julai 2018.

BACA: Richard Malanjum, Ketua Hakim Negara ke-9

Beliau yang sebelum itu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, menggantikan Tun Md Raus Sharif, yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, berkata beliau sudah mempunyai calon pengganti dan akan mengumumkannya kelak.