Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau telah dimaklumkan untuk menyembunyikan nama ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low daripada urusan 1MDB pada 2011 untuk melindungi perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini, dalam keterangan pada tahun lepas, Shahrol Azral, 50, berkata nama Jho Low terpaksa disembunyikan semasa mesyuarat lembaga pengarah kerana terdapat individu dalam UMNO yang tidak gembira dengan akses terus ahli perniagaan itu kepada Najib.

Semasa disoal balas peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi kesembilan pendakwaan itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau menyembunyikan nama Jho Low kerana bersubahat dengan ahli perniagaan tersebut untuk mendapatkan ganjaran daripada firma pengurusan pelaburan, Goldman Sachs.

Ganjaran itu adalah daripada rancangan 1MDB untuk memperoleh pengendali loji kuasa Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dengan harga RM10.6 bilion dan Goldman Sachs bertindak sebagai penasihat kewangan kepada 1MBD.

Pada Februari 2012, Goldman Sachs telah dilantik mewakili 1MDB dalam perjanjian itu dengan fi sebanyak 0.5 peratus daripada harga bidaan jika pemerolehan itu berjaya.

Shahrol Azral mengakui bahawa Jho Low bertanggungjawab mengusulkan Goldman Sachs sebagai ‘bookrunner, underwriter dan arranger’ bagi proses pembiayaan pemerolehan itu selain menjadi penasihat kewangan rasmi 1MDB.

“Seingat saya, Jho Low berkata mengapa kita tidak minta Goldman melakukan segala perkara berkaitan pembiayaan itu,” katanya.

Saksi itu berkata beliau terpaksa menandatangani surat pengesahan sebelum mesyuarat lembaga pengarah kerana mereka akan membentangkan kepada lembaga pengarah (mengenai pemerolehan Tanjong Energy) yang perlu dilakukan bagi membolehkan Goldman hadir.

Usaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Tanjong Energy telah dilakukan sejak Disember 2011 dan ia diterajui Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB ketika itu, Vincent Koh, bersama penasihat umum 1MDB, Jasmine Loo dan Goldman sendiri.

“Mereka bekerja keras meskipun pada hari cuti umum. Bukan perkara biasa jika penasihat atau bank yang bakal menandatangani kontrak berbuat demikian sebelum mereka menandatanganinya atau menjadi penasihat, seperti yang berlaku dalam kes Goldman. Meskipun mereka menandatangani kontrak untuk menjadi penasihat pada Februari, mereka sudah mula bekerja pada Disember 2011," katanya.

Berdasarkan dokumen yang dibacakan di mahkamah, permohonan untuk memperoleh Tanjong Energy dibuat pada 10 Feb 2012, dua hari selepas Goldman mengajukan bidaan itu kepada lembaga pengarah 1MDB.

Ditanya sama ada Jho Low adalah broker bagi Goldman, Shahrol Azral berkata beliau sebaliknya melihat ahli perniagaan itu sebagai fasilitator kerana mempunyai hubungan dengan semua pihak berkepentingan yang relevan termasuk perdana menteri.

Menjawab soalan lain yang dikemukakan Wan Aizuddin, Shahrol Azral mengakui bahawa lembaga pengarah 1MDB tidak dimaklumkan mengenai pengurangan harga pemerolehan itu sebanyak RM2.1 bilion, yang bermaksud dana pelaburan negara itu hanya perlu membayar sekitar RM8.5 bilion.

“Lembaga pengarah itu hanya dimaklumkan bahawa harga pemerolehan tersebut boleh mencecah RM10.6 bilion dan mungkin lebih rendah,” katanya.

Pada akhir prosiding perbicaraan itu, peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah agar Najib dibenarkan menghadiri sidang Parlimen kerana anak guamnya dijadualkan berucap esok sebagai Ahli Parlimen Pekan.

Muhammad Shafee berkata sebelum ini ahli parlimen telah dikecualikan dari mahkamah untuk berbuat demikian semasa perbicaraan kes mereka.

“Menghalang seorang ahli parlimen daripada menjalankan tugasnya boleh dianggap sebagai menghina Parlimen,” katanya.

Sebagai respons, Sequerah berkata “Adakah anda mengatakan bahawa saya akan dianggap menghina Parlimen jika saya tidak membenarkan permohonan ini?”

Muhammad Shafee: Anak guam saya telah membuat keputusan untuk berucap selepas 2 petang, boleh saya cadangkan agar mahkamah bersidang dari 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari esok?

Collin: Saya faham beliau ada tugas beliau, tetapi mahkamah ini juga ada tugasnya. Saya putuskan bahawa perbicaraan ini bersambung esok dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA