Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Nasharudin Isa hari ini mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan dibawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bernilai RM4 juta.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat beliau selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini.

Mengikut 27 pertuduhan dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, tertuduh yang juga Pengerusi Yayasan Nassar didakwa dengan curang melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta syarikat itu dengan membuat pembayaran kepada beberapa entiti dan individu pada 2015 hingga 2018 berjumlah RM1.12 juta.

Nasharudin turut didakwa menerima gaji RM20,000 selama beberapa bulan sebagai pengerusi yayasan itu.

Tiga lagi pertuduhan dibawah akta yang sama, Nasharudin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) didakwa melakukan pecah amanah jenayah secara curang memberikan RM2.6 juta Geran Penyelidikan kepada syarikat Wasatiyah Centre For Peace.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.


Bagi tiga pertuduhan dibawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, beliau didakwa melakukan kesalahan mendepositkan wang berjumlah RM302,069 melalui tiga cek CIMB Islamic Bank Berhad milik Wasatiyah Centre For Peace Sdn Bhd ke dalam tiga akaun berbeza yang mana wang berkenaan adalah peruntukan daripada Kementerian Kewangan kepada Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) pada November dan Disember 2018.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan daripada aktiviti haram, atau denda RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 wang jaminan dengan seorang penjamin bagi 30 pertuduhan dibawah Kanun Keseksaan.

Manakala RM80,000 wang jaminan dikenakan terhadap tertuduh dibawah AMLATPUAA dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport.

Tertuduh diwakili peguam Mat Yunus Sharif manakala Pihak Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dan Mohd Zaki Mohd Salleh.

28 November depan ditetapkan tarikh sebutan semula kes.