Dalam keghairahan peniaga menaikkan harga barangan serta makanan berikutan peningkatan harga bahan mentah, seorang pengusaha restoran memilih untuk menjual sepinggan nasi ayam dengan harga RM1.30.

Mungkin perkara itu agak mustahil namun menurut Shahrizan Azmed, 37 tahun, ianya bukan satu gimik pemasaran tetapi lebih kepada prinsip yang dipegangnya iaitu 'berniaga sambil bersedekah'.

Jelasnya tidak salah untuk peniaga mencari keuntungan tetapi perlu juga ada sifat bersedekah supaya hasil perniagaan lebih berkat.

Menurut Shahrizan, harga RM1.30 itu lahir daripada 'satu Al-Quran yang mengandungi 30 juzuk'.

Foto Astro AWANI
Harga untuk dibawa pulang pula ditetapkan pada RM1.60 bagi menampung kos pembungkusan.

"Dengan harga RM1.30 saya memang tidak akan memperolehi banyak keuntungan.

"Tetapi saya lebih kepada bersedekah kerana dalam perniagaan yang penting sekali adalah niat untuk bersedekah kepada golongan susah," tambahnya lagi.

Selain menawarkan nasi ayam taugeh, restorannya turut menghidangkan makanan laut lambak pada sebelah malam yang disediakan oleh isterinya.

Bagi pelanggan Khairul Azlan Abdul Rahman dari Manjoi, dia begitu terkejut dan tidak percaya apabila terbaca kenyataan yang dimuat naik di Facebook baru-baru ini tentang kedai Nasi Ayam RM1.30 itu.

"Saya sangat puas hati kerana walaupun makan berpinggan-pinggan, harganya tetap murah, memandangkan ekonomi sekarang tidak menentu.

"Bukan sahaja itu, makanan di sini sedap jadi boleh ajak kawan-kawan makan di sini beramai-ramai", ujarnya lagi.

Seorang lagi pelanggan tetap Siti Farah Abdul Bakar berkata dia merasakan kedai ini cukup menarik.

Foto Astro AWANI
"Kebiasaannya sepinggan nasi ayam dijual pada harga RM4 atau RM5 ringgit. Lain pula dengan kedai ini. Kebetulan pula saya memang gemar makan nasi ayam taugeh," katanya.

Restoran ini yang terletak di kawasan perumahan Bercham ini juga sentiasa penuh dengan pelanggan dari pelbagai kaum dan tidak putus-putus dengan pelanggan sejurus mereka membuka kedai pada jam 11.30 pagi.