Nasib 323 peneroka di tiga tanah rancangan di sini, yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit tiga tahun lalu, menjadi tumpuan utama kebanyakan peserta hadir pada Sesi Pendengaran Awam Penilaian Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang, pada Ahad.

Kebanyakan peneroka yang mengambil bahagian dalam soal jawab pada sesi pendengaran awam itu mahukan kerajaan membenarkan semula aktiviti tersebut diteruskan dalam tempoh terdekat kerana menyifatkan sudah cukup 'menderita' kerana hilang punca pendapatan selepas kerajaan mengenakan tempoh moratorium tiga tahun lepas.

Pengerusi Kami Anak Felda Bukit Goh, Datuk Mohd Bakri Abdul Majid berkata kebanyakan peneroka tidak 'senang hati' kerana sehingga kini kerajaan masih belum membenarkan aktiviti perlombongan bauksit itu diteruskan walaupun tempoh moratorium telahpun ditarik balik pada 31 Mac lalu.

"Kebanyakan pihak hanya menitikberatkan soal SOP dan kesan pencemaran berlaku apabila aktiviti ini dilakukan, namun tidak ramai peduli apa terjadi kepada peneroka Felda di Bukit Goh, Bukit Sagu dan RTP Bukit Goh yang kehilangan punca pendapatan sejak tiga tahun lalu.

"Kebanyakan datang hari ini (sesi pendengaran awam) bukan mahu tahu tentang SOP hendak dibentangkan, tetapi saya yakin mereka hendak tahu bilakah aktiviti perlombongan bauksit ini akan diteruskan.

"Jadi saya harap pihak berkenaan turun di peringkat akar umbi dan lihat sendiri apa masalah dihadapi peneroka dan sebagai generasi kedua Felda, saya kecewa jika kerajaan masih lagi tidak membenarkan aktiviti ini diteruskan dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Menurutnya, pihak peneroka tidak pernah mempertikaikan tentang SOP dibuat itu, namun berharap ia haruslah disertakan dengan penguatkuasaan tegas supaya tidak menimbulkan pencemaran kepada alam sekitar yang boleh menyebabkan moratorium dikenakan kembali.

Katanya jika perlombongan dilaksanakan segera, ia bukan sahaja kembali 'memberi sinar' kepada peneroka Felda, tetapi juga dapat memberikan pendapatan tambahan kepada kerajaan, sekali gus dapat digunakan semula untuk tujuan pembangunan di negeri ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pesara Felda Bukit Goh Nik Abdul Majid Nik Sin berkata kebanyakan generasi pertama Felda yang terikat menandatangani kontrak perlombongan bauksit terpaksa mengharapkan belas ihsan anak-anak untuk menyara hidup selepas kerajaan mengenakan tempoh moratorium.

"Di Bukit Goh sahaja ada 220 peneroka yang terlibat dengan perlombongan bauksit dan daripada jumlah itu hanya 30 orang mendapat pulangan RM800,000 hingga RM2 juta selepas pokok sawit ditebang dan bauksit diambil.

"Namun selebihnya ada pokok ditebang, tetapi bauksit belum diambil, dan ada juga yang tanahnya ditinggalkan dalam keadaan berlubang-lubang antara enam hingga sembilan meter kedalamannya.

"Macam mana Felda nak buat penanaman semula dan kami tidak menyalahkan kontraktor sebab kerajaan yang menghalang jentera berat untuk melakukan sebarang aktiviti dalam tempoh tiga tahun lepas termasuk aktiviti menimbus tanah," katanya

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berharap kerajaan tidak akan berkompromi dengan soal kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam apabila membenarkan aktiviti perlombongan bauksit itu dilaksanakan kelak.

"Saya lihat mereka mendesak supaya perlombongan itu diteruskan semula terdiri daripada kalangan mangsa perlombongan haram sebelum ini, kerana mereka tidak diberi gambaran sebenar tentang SOP, malah mereka dijanjikan macam-macam perkara indah tetapi perjanjian itu tidak membela nasib mereka," katanya.