Tutup

Nasib penghantar makanan Foodpanda dibincang Kabinet hari ini - Syed Saddiq

Nasib penghantar makanan Foodpanda dibincang Kabinet hari ini - Syed Saddiq
Syed Saddiq menegaskan bahawa hak pekerja perlu dibela dan majikan tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan sesuka-hati. - Astro AWANI/Fail
PETALING JAYA: Isu skim pembayaran baharu yang dilaksanakan Foodpanda terhadap penghantar makanan akan dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Demikian disahkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan keputusan dibuat syarikat penghantar makanan dalam talian tersebut sebagai terburu-buru.
"Untuk kita selesaikan perlu ada jalan penyelesaian bersama. Esok (Rabu) saya akan bersama rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, saya akan maklumkan secara terus kepada Perdana Menteri berkenaan masalah ini.

"Ia tidak hanya melibatkan masalah yang dihadapi penghantar makanan Foodpanda tetapi juga berkenaan sistem gig ekonomi secara keseluruhan.
"Sambil kita hendak pastikan gig ekonomi dapat berkembang, sambil syarikat boleh dapat ratusan juta dari segi revenue dan profit, kita tidak boleh sesekali lupakan pekerja-pekerja yang akhirnya menyebabkan syarikat itu dapat sumber lumayan tersebut," katanya.

Syed Saddiq berkata demikian selepas mendengar luahan lebih 100 penghantar makanan Foodpanda dalam satu sesi dialog yang dianjurkan di rumahnya di sini, malam tadi.



Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan, hak pekerja perlu dibela dan majikan tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan sesuka-hati.

Menurutnya, syarikat berkenaan dilihat gagal membela kebajikan penghantar makanan.

"Saya harap masalah ini dapat diselesaikan. Ini adalah atas usaha mereka (penghantar makanan) sendiri, rintihan mereka, sehingga mereka sanggup datang ke sini.

"Kalau isu ini tidak serius, memang mereka tidak akan datang," tambahnya. 

Lebih 100 penghantar makanan Foodpanda daripada wakil di Johor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur hadir pada sesi dialog bersama Syed Saddiq di rumah beliau pada Selasa. Astro AWANI

Syed Saddiq turut memaklumkan kepada media, pada sesi perjumpaan bersama Foodpanda pada Selasa, pihak pengurusan syarikat tersebut bersetuju mempertimbangkan semula sistem skim pembayaran lama sekiranya skim pembayaran baharu benar-benar menjejaskan pendapatan penghantar makanan.

BACA: "Kami diugut jika lancarkan mogok" - Penghantar makanan Foodpanda

Terdahulu, lebih 100 penghantar makanan Foodpanda daripada wakil di Johor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur hadir pada sesi dialog tersebut.

Rata-rata menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung tindakan Foodpanda memperkenalkan skim pembayaran baharu yang dianggap tidak adil.

Antara isu lain yang dibangkitkan adalah pihak Foodpanda didakwa tidak berbincang dengan penghantar makanan sebelum melaksanakan sistem baharu; wakil Foodpanda tidak mengendahkan kebajikan dan aduan; dan pendapatan berkurangan sehingga RM600.

Selain itu, mereka mendakwa turut diugut oleh pihak pengurusan Foodpanda jika menyertai mogok.

Pada 30 Sept lalu, sejumlah penghantar Foodpanda di beberapa negeri melancarkan mogok.