UMNO Bahagian Indera Mahkota akan menyediakan khidmat nasihat guaman kepada keluarga mangsa nahas go-kart di Jalan Sukpa di Indera Mahkota di sini pada Ahad lepas sekiranya diperlukan keluarga berkenaan.

Timbalan Ketuanya Datuk Mazlan Mat Rashid berkata waris mangsa, Siti Suhaiza Seman, 38, mempunyai hak untuk menuntut keadilan menerusi undang-undang.

"Mungkin selepas keadaan beliau (Siti Suhaiza) kembali stabil, beliau mahukan nasihat dari segi kriteria perundangan, kita ada peguam yang boleh membantu memberikan pandangan," katanya.

Mazlan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program pencarian bakat bola sepak bagi pelajar sekolah berumur 11 hingga 14 tahun iaitu 'Million Dollar Feet-It Could Be You!' di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, suami Siti Suhaiza, Izwan Isa, 39, dan anak perempuan mereka Nur Zulaikha, 5, maut manakala Siti Suhaiza dan anak mereka Muhammad Izz Daniel, 7, cedera setelah dirempuh kenderaan itu semasa menonton Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016.

Mazlan berkata setakat ini UMNO bahagian itu telah membantu keluarga mangsa daria segi bantuan kewangan di samping memberikan sokongan moral untuk menenangkan emosi keluarga. -Bernama