PEMAIN gitar bass kumpulan Search, Nasir Taib mengakui terkilan penyanyi utama kumpulan itu, Suhaimi Abdul Rahman atau dikenali Amy Search tidak sempat pulang dari Jakarta, Indonesia bagi memberi penghormatan terakhir kepada pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad yang meninggal dunia pagi tadi.

Nasir yang juga pengasas utama kumpulan rock terkemuka tanah air bersama Allahyarham Yazit berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Amy hari ini menyuarakan permohonan maaf kepada beliau, ahli Kumpulan Search lain dan ahli keluarga Allahyarham kerana tidak sempat pulang disebabkan tuntutan kerja.

Menurutnya, Amy juga berasa terkilan kerana tidak dapat bersama dengan seluruh ahli kumpulan Search bagi menziarahi jenazah Allahyarham Yazit yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Taman Selasih di sini petang tadi.

"Saya berpesan kepada Amy sekiranya sempat pulang, maka cubalah pulang kerana kesemua ahli kumpulan Search sudah bersaudara sejak 40 tahun lalu.

BACA: Amy Search zahirkan ucapan takziah, mohon maaf tidak dapat hadir ke pengebumian Yazit

"Sekiranya sempat, baliklah dan jika tidak, saya anggap ini ketentuan takdir. Apapun, selama 40 tahun kami susah senang bersama, setiap ahli keluarga Search tiada galang ganti dan saya tidak dapat terima apabila kami tidak lengkap," katanya dengan nada sebak.

BACA: Yazit Search meninggal dunia

Nasir berkata, selain beliau, anggota Kumpulan Search lain seperti Kid (Hamzah Abdul Taib) dan Nordin (Taib) sudah menziarahi Allahyarham sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam semalam.

Menurutnya, Allahyarham Yazit sangat rapat dengannya dan sangat mengenali hati budi masing-masing disebabkan keserasian permainan muzik antara mereka berdua selaku pemain gitar bass dan dram.

"Kehilangannya memberi kesan besar dalam hidup saya kerana Allahyarham Yazit merupakan tangan kanan saya sepanjang memperjuangkan muzik Kumpulan Search sejak 40 tahun lalu.