Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membidas keputusan polis yang menolak permohonan penganjuran debat terbuka antara beliau dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, beliau berkeras untuk mengadakan debat tersebut pada tarikh, tempat dan masa yang telah ditetapkan.

"Berkali-kali saya katakan, ini bukan perhimpunan aman. Mengapa satu wacana yang melibatkan saya dan Tun Mahathir tidak dibenarkan? Saya tidak faham.

"Ini bukan perhimpunan aman, perhimpunan aman memerlukan 10 hari dan kebenaran di tempat-tempat yang tertentu. Tempat bukanlah satu sebab untuk menghalang wacana ini berlaku.

“Sejak bila kita jadi police state? Sejak bila hak individu boleh dihalang oleh orang lain. Ini bukan negara polis, ini Malaysia sebuah negara demokrasi,” tegasnya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Debat berkenaan dijadualkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar dan bakal menyentuh isu berbangkit dalam negara seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Bumiputra Malaysia Finance (BMF).


“Saya agak terganggu. Saya minta kepada Sinar Harian sebagai penganjur untuk teruskan perbahasan ini.

“25 hari bulan saya datang juga, saya tidak mahu negara ini menjadi negara polis. Saya akan datang,” katanya.

Beliau pada masa sama menolak alasan perbahasan itu akan menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, sebagai seorang menteri, beliau bukan mahu menghasut mana-mana pihak bagi menimbulkan pergaduhan.

“Saya menteri, kalau pembangkang nak menghasut...

“Saya menteri, Tun Dr Mahathir bekas perdana menteri,” katanya sambil memberi jaminan tidak ada perkara yang tidak diingini akan berlaku.

Nazri yang juga ahli parlimen Padang Rengas berkata beliau telah menghubungi Ketua Pengarah MARA dan juga menerima surat kebenaran berkenaan.

Jelasnya, beliau juga telah berbincang dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed untuk mendapatkan butiran terperinci penolakan permohonan oleh polis.