Keadaan Jerebu di seluruh negara dilaporkan berada dalam keadaan sederhana sehingga pukul 1 tengah hari.

Namun, dua kawasan dilaporkan berada dalam keadaan tidak sihat iaitu di Johan Setia, Selangor dan Rompin, Pahang.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada pukul 1 tengah hari di Johan Setia adalah 109 manakala di Rompin 103.

Pada Rabu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan beberapa negeri di tanah air bakal menerima tempias jerebu susulan kebakaran hutan di lima wilayah di Indonesia.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata beberapa negeri akan mengalami jerebu dalam tempoh sekitar tujuh hari berikutan monsun Barat Daya dengan cuaca kering dan stabil.

Kebakaran hutan di Riau, Indonesia ketika ini dilihat semakin meruncing apabila hampir 6,000 petugas pengurusan bencana digerakkan oleh Kerajaan Indonesia.

Selain Riau, kebakaran hutan turut dikesan di lima wilayah lain termasuk Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.