Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang tekong dan enam awak-awak dipercayai warga Indonesia di perairan Tanjong Karang dekat sini, semalam kerana menangkap ikan tanpa kebenaran.

Pengarah Maritim Daerah Kapten Abu Zaki Mohammad berkata mereka yang berumur di antara 21 hingga 41 tahun ditahan di 29.3 batu nautika dari perairan Tanjong Karang kira-kira 10.45 pagi.

Selain itu, pihaknya merampas bot sepanjang 20 meter yang turut mengandungi sebuah tong ikan campur, 16 rawai dan sebuah pukat.

“Pemeriksaan mendapati awak-awak dan tekong bot tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Bot dan warga asing itu dibawa ke pusat operasi Maritim Klang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu, APMM meningkatkan penguatkuasaan di sekitar perairan negara bagi mengekang pencerobohan nelayan asing yang bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan tempatan malah dikhuatiri menjadi punca kepada kegiatan jenayah dan penyeludupan di laut.

Sementara itu, Abu Zaki berkata pihaknya memperluaskan kawasan pencarian bagi mengesan seorang kru kapal tangki MT C.P38 yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut kira-kira 10.8 batu nautika barat daya Morib di sini, Ahad lepas.

“Pencarian yang memasuki hari kedua diperluaskan ke lima hingga 10 batu nautika dan persatuan nelayan sekitar kawasan juga telah dimaklumkan mengenai kejadian ini. Mereka diminta melaporkan sebarang penemuan objek kepada kami,” katanya.

Dalam kejadian itu, rakyat Thailand yang dikenali sebagai Teerayouth, 28, dilihat berada di atas kapal itu kira-kira 5.38 petang.

Ketika kejadian, kapal tangki itu yang berdaftar di Bangkok, Thailand adalah dalam perjalanan ke Papua New Guinea dari Pelabuhan Klang.

--BERNAMA