Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan asing yang menyamar sebagai bot nelayan tempatan kira-kira 142 kilometer dari Kuantan, awal pagi Isnin.

Menurut Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar, bot bersama seorang tekong dan 18 awak-awak warga Vietnam berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan kira-kira jam 4 pagi.

Beliau berkata, ketika operasi rondaan dilakukan di kawasan terbabit, anggotanya mengesan sebuah bot nelayan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan PAF 4709 dan membawa hasil laut dianggarkan seberat hampir empat tan.

"Kita dipercayai hasil yang diperolehi dalam perairan Malaysia itu akan dibawa keluar untuk dijual di negara asing pada harga yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil rampasan termasuk bot berkenaan dianggarkan bernilai mencecah RM1 juta.

"Kesemua 19 nelayan warga Vietnam itu ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokuman pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.