Tutup

Nelayan hilang ketika memancing di perairan Silam

Nelayan hilang ketika memancing di perairan Silam
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia antara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. - Gambar hiasan
LAHAD DATU: Seorang nelayan dilaporkan hilang di laut semalam selepas keluar memancing di kawasan perairan Silam berdekatan Pulau Burung, dekat sini, sejak Rabu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata Ebno Salim, 48, yang juga pemegang dokumen IMM13 dikatakan keluar memancing pada pukul 2.00 petang Rabu, sebelum botnya ditemui dalam keadaan enjin masih hidup pagi semalam.
"Pada pukul 7.00 pagi tadi (Khamis) seorang nelayan lain terserempak dengan bot itu yang enjinnya masih hidup di Pulau Burung, namun Ebno tidak kelihatan di mana-mana.

"Laporan kehilangan dibuat pada pukul 12.28 tengah hari tadi di Balai Polis Daerah Lahad Datu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Menurutnya Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Nasri berkata Ebno tinggal bersama isteri dan lapan anaknya di Kampung Silam Kem di sini.

-- BERNAMA