Tutup

Nelayan mungkin 'barter dadah' di tengah laut - Polis

Nelayan mungkin 'barter dadah' di tengah laut - Polis
'Dike' anjing pengesan Unit K9 Bukit Kayu Hitam memeriksa kotak semasa operasi membanteras pengedaran serta penyeludupan dadah di Terminat Jeti Kuah di Langkawi, pada Khamis. - BERNAMA
LANGKAWI: Golongan yang berulang-alik dari daratan ke laut, disyaki menjadi dalang sindiket membawa masuk dadah untuk diedarkan di Pulau Langkawi.

Polis percaya, sindiket menggunakan kaedah 'sistem barter' di tengah laut sebelum menyusup masuk bekalan dadah ke pulau peranginan itu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya percaya taktik baharu itu susulan penggempuran besar-besaran di Bukit Malut, selain pemeriksaan ketat menggunakan unit anjing pengesan K9, di pintu masuk Jeti Penumpang Langkawi.

Katanya, sebagai sebuah pulau terbuka yang mempunyai beribu pintu masuk di sepanjang laluan pantai selain laluan utamanya di Jeti Penumpang, tidak mustahil kalau nelayan serta bot persendirian mendalangi sindiket berkenaan.
"Kita ada maklumat bahawa mereka ini bertukar atau 'barter trade' di tengah laut. Kita akan cekup, kita dah cekup pun. Ada nelayan yang kita sudah cekup yang bawak masuk dadah ke pulau besar ke Langkawi. Mungkin juga dia jadi pengedar, mungkin juga dia penagih yang memperolehi dadah itu semasa berada di tengah laut ketika berurusan dengan nelayan dari negara jiran.

"Yang kita cekup ialah nelayan tempatan," jelas Zainuddin.

Katanya, pihaknya akan mengikut rapat mana-mana orang yang disyaki sebagai petualang negara bagi memastikan semua kawasan di Langkawi sifar dadah.

Sebelum itu, Zainuddin turut memantau operasi pemeriksaan bagasi dan penumpang feri dengan menggunakan anjing pengesan.

Kaedah itu akan diperluaskan ke kawasan utara Langkawi di mana kedudukannya lebih dekat dengan kawasan sempadan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Astro AWANI turut meninjau kawasan penempatan Bukit Malut yang dikatakan menjadi sarang penagihan dadah terbesar di pulau itu.

Selepas kira-kira dua minggu digempur, kawasan penempatan yang padat itu nampak 'bersih' dari kelibat penagih.

Polis turut membuat pemeriksaan ketat di laluan masuk dan keluar ke Bukit Malut, selain penempatan anggotanya di lokasi 'hotspot' di kawasan penempatan itu.

Untuk rekod, polis berjaya menahan 17 lelaki berkaitan penyalahgunaan dadah di Bukit Malut, sepanjang tempoh tiga hari operasi dari Isnin.





Tag: langkawi dadah, tokan dadah langkawi, pulau langkawi, sistem barter



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.