Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar menghormati pandangan aktivis Datuk S Ambiga mengenai isu nepotisme, namun menegaskan beliau tidak memegang jawatan di dalam kerajaan sebaliknya hanya menjadi seorang wakil rakyat.

Nurul Izzah berkata beliau menerima pandangan banyak pihak mengenai perkara itu dan menjelaskan tumpuannya kini adalah untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya iaitu Permatang Pauh.

Namun, tegasnya, bagi mengelak berlakunya amalan nepotisme, Nurul Izzah berkata mana-mana pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan diingatkan supaya tidak memberi kontrak dan dana kepada individu yang tergolong dalam ahli keluarga mereka.

"Pada saya kita ambil secara positif dan kita juga dengan penuh rendah diri memahami dalam skop akan ada suara-suara yang tidak bersetuju dengan kita. Alhamdulilah saya tidak termasuk dan tergolong dalam Kerajaan Pusat , saya amat-amat bersyukur diberikan peluang oleh rakyat Permatang Pauh yang menjadi suara kepada isu-isu termasuklah pemerkasaan anak-anak muda dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Pada saya, kita harus pastikan jangan diberikan juga pemberian kontrak atau pemberian berupa dana kepada mereka yang tergolong dalam keluarga kita, bila kita memegang jawatan dalam kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Malaysiaku Mini RTC Pulau Pinang di Mengkuang Titi, di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Ambiga yang memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) mengenai bahaya nepotisme susulan keputusan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Pada Jumaat, Ambiga berkata perkara itu tidak akan dianggap nepotisme sekiranya Anwar, Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen. Namun ia akan berlaku sekiranya mereka mempunyai jawatan dalam kerajaan.

Selain itu, Ambiga berkata sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri seperti yang dirancang, Wan Azizah perlu meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.