Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen PKR Batu Pahat Datuk Rashid Hasnon dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang baharu selepas pengundian bersurat.

Mereka menggantikan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Said dari UMNO.

Pelantikan mereka disahkan selepas dua calon tersebut memperolehi undian tertinggi dari kalangan Ahli Parlimen.

Calon ketiga merupakan Ronald yang dicadangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan disokong Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rashid mendapat 171 undi, Kor Ming mendapat 124 undi manakala Ronald mendapat 93 undi.

Kor Ming dan Rashid dicadangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kor Ming, 46 tahun, berasal dari Ayer Tawar, Perak dan memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya.

Selain itu, beliau merupakan Ahli Parlimen Taiping sejak 2008 hingga 2018 dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Kor Ming adalah Ahli Parlimen Teluk Intan.

Rashid, 58, pula merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dari 2013 hingga 2018 dan diletakkan untuk bertanding di Johor pada PRU14.

Beliau berasal dari Muar, Johor dan memegang Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Kawalan dari University of Sheffield.