Ngeh lapor polis terima 'bukti' baharu kes rogol membabitkan Exco

Ngeh lapor polis terima 'bukti' baharu kes rogol membabitkan Exco
Ngeh (gambar) mendakwa orang yang membawa pembantu rumah membuat laporan polis telah diugut dengan sepucuk pistol supaya tidak membongkarkan rahsia. - Gambar fail
IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Ngeh Koo Ham malam tadi membuat laporan polis berhubung maklumat terbaharu yang diterima berhubung dakwaan kes rogol melibatkan Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini pada jam 10.15 malam.

"Pada pukul 6 petang tadi semasa saya berada di sebuah hotel di Jalan Datoh di sini, saya menerima maklumat bahawa orang yang membawa pembantu rumah warga Indonesia itu untuk membuat laporan polis yang dia dirogol dipercayai telah menerima wang sebanyak RM100,000.

"Dia juga diugut dengan sepucuk pistol supaya tidak membongkarkan rahsia ini.

"Saya percaya ada muslihat di belakang dakwaan bahawa Yong telah merogol pembantu rumahnya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan.

Beliau berkata laporan itu dilakukan untuk meminta pihak polis melakukan siasatan lanjut mengenai dakwaan kes itu.



Yong yang merupakan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pagi esok mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan susulan dakwaan merogol pembantu rumahnya bulan lalu.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Yong di rumah majikannya itu di Meru.

-- BERNAMA