Sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi akan ditubuhkan bagi membincangkan cadangan dikemukakan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengenai peningkatan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu yang dijadualkan pada Januari depan.

"Ini adalah merupakan kesinambungan, sebab Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet yang memberikan fokus kepada kos sara hidup dan saya memberikan fokus kepada kesinambungan mesyuarat berkenaan.

"Namun, kita tambah di peringkat awal High Level Committee (HLC) ini sebelum mesyuarat jawatankuasa itu dijalankan. Ertinya, kita akan meneliti melalui kerjasama enam menteri berkaitan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Deklarasi Prioriti 2016 'Ekonomi Keutamaan Kita' anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YSDM) di sini hari ini.

Menteri yang terlibat ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Menerusi jawatankuasa ini, saya akan menjemput pengerusi NGO untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatakan sendiri luahan dan pandangan berhubung isu kos sara hidup,” ujar beliau.

Mengulas gesaan NGO agar separuh daripada peruntukan untuk NGO dalam Bajet 2016 disalurkan kepada 50 NGO dalam YDSM, beliau menjelaskan, kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan berkenaan kerana terdapat ribuan pertubuhan bukan kerajaan di seluruh negara.

"Peruntukan RM160 juta yang diumumkan Perdana Menteri semasa Bajet 2016, adalah untuk diagihkan kepada ribuan NGO. Ia bukan hanya untuk 50 NGO sahaja.

"Saya ingin jelaskan, peruntukan itu adalah disalurkan kepada NGO yang menjalankan aktiviti mengikut kriteria tertentu dan ia akan diagihkan mengikut aktiviti yang dijalankan," jelas beliau.

Beliau menyerahkan kepada Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mencari kaedah yang sesuai dalam pembahagian peruntukan berkenaan.

"Perbincangan akan dilakukan di pihak Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) supaya ada kos keberkesanan ke atas apa yang diumumkan Perdana Menteri itu," jelas Ahmad Zahid.

Cabaran ekonomi

Pada majlis itu, Alimuddin membentangkan enam resolusi yang dicapai NGO terbabit dan YDSM dalam menangani cabaran ekonomi 2016 termasuk kos sara hidup.

Resolusi itu adalah memperkasa kemapanan mahasiswa dengan memberi dorongan dan bantuan yang komprehensif untuk menjadi penggerak dan penjana utama ekonomi; memperkasa peranan wanita melalui skim latihan keusahawanan, penubuhan koperasi barang dapur, biro pengurangan beban hutang keluarga dan institut pembantu rumah bertauliah; serta memupuk dan meluaskan budaya keusahawanan di semua peringkat termasuk usahawan seni, budaya, kesihatan dan kecantikan.

Resolusi lain adalah memfokuskan kepada agenda 'satu keluarga satu usahawan'; memastikan kesejahteraan hidup miskin bandar, miskin tegar, golongan kelainan upaya dan warga emas; serta melaksanakan pelan tindakan drastik dalam penguatkuasaan kawalan harga barangan.

BACA: Ibu bapa mengeluh barangan keperluan sekolah naik

BACA: Pekerja di Malaysia menantikan kenaikan gaji 5.8 peratus pada 2016

BACA: Segala tambang naik, nak suruh rakyat jalan kaki? - Khairy