Tutup

NGO diseru bantu kerajaan jaga kebajikan golongan memerlukan - Siti Hasmah

NGO diseru bantu kerajaan jaga kebajikan golongan memerlukan - Siti Hasmah
Perhatian haruslah diberikan supaya pertolongan dan rawatan diberikan secepat mungkin kepada golongan kurang upaya. - Astro AWANI/FIRDAUS ALAUDDIN
KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru supaya lebih peka dalam menjalankan tanggungjawab mereka membantu kerajaan menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan.

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, mereka perlu tampil dengan usaha dan inisiatif sendiri dan tidak menunggu bantuan daripada kerajaan.

Tambahnya, ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya dan berkemampuan dari segi kewangan, boleh menjadi pencetus kepada NGO lain untuk terlibat sama membantu golongan ini.

“Kita perlulah memberi kesedaran juga kepada orang ramai dan masyarakat terhadap golongan kurang upaya.
“Perhatian haruslah diberikan supaya pertolongan dan rawatan diberikan secepat mungkin," katanya pada satu sidang media di Global Doctors Hospital, Mont Kiara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Siti Hasmah menyerahkan sumbangan berjumlah RM163,000 kepada beberapa pertubuhan kebajikan, hasil kutipan Majlis Makan Malam Amal 'Petro Charity Nite' anjuran hospital itu baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) Feilina Feisol berkata, rakyat perlu sedar yang setiap anak–anak autisme mempunyai kelebihan tersendiri dan berpotensi untuk berjaya.