Lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak agar kerajaan segera mengharamkan penggunaan vape atau rokok elektronik di negara ini.

Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Prof Datuk Dr Lekhraj Rempal berkata, ketika ini fenomena rokok elektronik berada pada tahap berbahaya dan usaha mendesak pengharaman vape ini telah digerakkan sejak tahun 2015.

"Penggunaan vape ini telah jelas membahayakan kesihatan dan ini terbukti dengan kes kematian di negara luar akibat penyakit paru-paru dan tidak perlu lagi kajian untuk mengharamkan vape di Malaysia.

"Lebih menyedihkan ada pihak yang mahukan bukti dan kajian berhubung bahaya vape, persoalannya kita sudah lihat beberapa kes kematian dan adakah kita sanggup untuk melihat kes kematian berterusan akibat vape?," katanya ketika sidang media di Persatuan Perubatan Malaysia, di sini pada Khamis.

Menurut Dr Lekhraj, lebih buruk lagi penggunaan vape ini telah mula merebak luas sehingga melibatkan pelajar sekolah yang mula terjerat dengan ketagihan nikotin.

"Paling membimbangkan apabila ada di kalangan keluarga sendiri yang jual produk vape dan jual kepada pelajar sekolah," katanya lagi.

Kajian pada tahun 2016 menganggarkan seramai 300,000 pelajar sekolah terlibat dengan penggunaan vape.

Sementara itu pakar perunding respirotari Universiti Mahsa, Datuk Dr Abdul Razak Abdul Mutallif menekankan sebahagian pengguna masih beranggapan penggunaan vape ini sebagai satu langkah yang selamat atau alternatif lain menggantikan rokok tetapi sebaliknya mereka berdepan risiko kesihatan yang tinggi.

"Tidak dinafikan bau asap vape wangi berbanding asap rokok secara tidak langsung menarik minat terutamanya golongan pelajar.

"Mereka tidak sedar wap yang masuk pada tubuh badan jelas mengandungi bahan kimia berbahaya sekaligus menjejaskan paru-paru dan ini termasuk kandungan perisa vape yang mengandungi bahan terlarang tanpa disedari," jelasnya.

Sehingga hari ini, sebanyak 43 buah negara telah mengambil langkah melarang penjualan dan penggunaan vape antaranya Thailand, Singapura, Brunei dan Kemboja dimana negara-negara terbabit telah mengharamkan secara menyeluruh.

Baru-baru ini kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan telah mewujudkan satu jawatankuasa kerja pakar bagi mengkaji kemungkinan larangan secara menyeluruh terhadap penggunaan rokok elektronik dan vape.