Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Media Merdeka (Geramm), Kelab Koresponden Luar Negara Malaysia (FCCM) dan Institut Wartawan Malaysia (IoJM) menyuarakan kesediaan untuk bertemu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi membincangkan penyelesaian dalam isu larangan liputan ke atas media di lobi Parlimen.

Dalam satu kenyataan media bersama, tiga NGO berkenaan berkata, arahan itu akan menyekat keupayaan wartawan melaporkan isu-isu penting negara.

“Ramai pengamal media daripada pelbagai platform telah menyuarakan ketidakpuasan hati dengan keputusan itu termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia. Tiada undang-undang yang melarang wartawan mengakses ahli Parlimen selagi bukan di dalam Dewan itu sendiri.

BACA; Berdepan masalah internet, pengurusan Parlimen bantu media laksana tugas

“Kami menggesa Speaker untuk mengkaji semula arahan berkenaan itu dan bagi penggubal undang-undang untuk mengambil perhatian serius bagaimana arahan ini akan memberi kesan negatif kebebasan akhbar, kebebasan bersuara dan demokrasi di negara ini.

“Ketiga-tiga kumpulan NGO ini sedia berjumpa Tan Sri Pandikar dan/atau kakitangannya, untuk membincangkan penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi media dalam membuat liputan di Parlimen,” memetik kenyataan itu.

Pandikar Amin hari ini mengeluarkan arahan sekatan kepada pihak media untuk tidak lagi berada di lobi Parlimen berkuat kuasa 12 tengah hari Selasa.

Menerusi perintah yang dibuat di kamar Speaker Dewan Rakyat, Pandikar berkata larangan bertujuan menjaga keselamatan Ahli Parlimen dan mengelak sebarang kejadian tidak diingini.