Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati penyakit tidak berjangkit seperti masalah diabetes mengalami peningkatan sebanyak 18.3 peratus pada tahun 2019 berbanding 13.4 peratus pada tahun 2015.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, seramai 49 peratus penghidap diabetes di negara ini tidak pernah diperiksa atau didiagnos menghidap penyakit berkenaan.

Katanya, masalah obesiti juga didapati terus meningkat iaitu 50 peratus penduduk dewasa mengalami berat badan berlebihan.

"Ini merupakan faktor risiko penting yang boleh diubah dalam kalangan penghidap penyakit tidak berjangkit.

"Selain itu, tinjauan juga mendapati 95 peratus penduduk dewasa tidak mengambil kuantiti buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi serta yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, prevalens kebantutan (stunted) dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari lima tahun juga meningkat daripada 17.7 peratus pada tahun 2015 kepada 21.8 peratus pada tahun 2019.

Jelasnya, masalah itu disebabkan oleh kekurangan pengambilan nutrisi yang diperlukan oleh ibu dan kanak-kanak yang membesar.

"Tinjauan juga mendapati terdapat keperluan meningkatkan tahap literasi kesihatan penduduk Malaysia di mana 35 peratus penduduk dewasa mempunyai tahap literasi kesihatan yang rendah, terutamanya dalam aspek pencegahan penyakit," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, NHMS 2019 memfokuskan kepada tiga aspek iaitu penyakit tidak berjangkit, risiko penyakit tidak berjangkit, permintaan jagaan kesihatan serta literasi kesihatan.

"Tinjauan ini juga dijalankan untuk memantau trend dan perubahan status kesihatan, berbanding tinjauan sebelum ini.

"Seramai 32,000 penduduk Malaysia terlibat dalam tinjauan ini, yang dijalankan dari Julai 2019 hingga Oktober 2019, meliputi semua negeri dan wilayah persekutuan di seluruh negara," ujarnya.