Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi) hari ini meminta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan pendekatan yang lebih mesra pelancong ketika menjalankan penguatkuasaan.

Timbalan Presidennya Datuk Alexander Isaac berkata ini kerana tindakan Maritim Malaysia menjalankan pemeriksaan di atas kapal siar sejak kebelakangan ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelancong dan boleh menjejaskan kedatangan pelawat ke Langkawi.

"Cara mereka naik dan memeriksa kapal yang membawa pelancong menakutkan pelawat dan ramai yang membuat aduan kepada operator serta ejen pelancongan," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Katanya beliau cuba mengadakan perbincangan dengan Maritim Malaysia namun diberitahu agar membawa perkara itu kepada Jabatan Laut Malaysia.

"Ketua Pengarah Jabatan Laut (Datuk Baharin Abdul Hamid) mengadakan dialog (dengan kami) di sini dan beliau memahami masalah kami. Beliau juga mencadangkan kepada Maritim Malaysia agar menggunakan pendekatan lebih mesra pelawat apabila menaiki bot pelancong," katanya yang mendakwa Maritim Malaysia tidak mengendahkan cadangan tersebut.

Katanya Niagakawi juga telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Ahli Parlimen Langkawi memohon campur tangan sebelum situasi menjadi lebih buruk dan menjejaskan industri pelancongan pulau itu.

-- BERNAMA