Polis menahan seorang penjaga pusat jagaan dan latihan urut tradisional berusia 41 tahun di sini selepas dipercayai mendera seorang remaja berusia 13 tahun yang menjalani latihan di pusat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa didera sejak April lalu selepas dihantar oleh ibu bapanya ke pusat berkenaan untuk menjadi tukang urut tradisional.

Menurut beliau, keterangan suspek diambil selepas pihaknya menerima laporan daripada wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jumaat lalu.

"Laporan dibuat selepas mangsa menceritakan mengenai penderaan yang dialami kepada seorang pelanggannya ketika sesi urut selepas bersalin.

"Pelanggan itu kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada wakil NGO yang kemudian tampil membuat laporan.

"Mangsa mengalami kesan lecur di bahagian lengan, badan dan mulut. Mangsa juga mendakwa dipukul dengan senduk panas, dicekik dan ditumbuk.

"Dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang," katanya dalam sidang media di IPD Kajang, hari ini.

Mangsa juga dipercayai turut dirogol oleh salah seorang pelanggannya di Sri Petaling, Mei lalu.

Ahmad Dzaffir berkata, mangsa adalah anak kedua daripada lapan adik beradik.

Difahamkan, mangsa dihantar ke pusat rawatan kesihatan itu oleh ibu bapanya sejak April lalu akibat kesempitan hidup.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.