Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat disemadikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan hari ini.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disempurnakan di Masjid Pulau Melaka pada jam 10 pagi dan dianggarkan hampir 30,000 orang hadir di Masjid tersebut untuk bersama-sama membuat solat jenazah.

Perdana Menteri Datuk Najib Razak antara yang paling awal hadir ke pengebumian Mursyidul Am PAS itu.


nik aziz funeral
Hampir 30,000 orang hadir di Masjid Pulau Melaka untuk bersama-sama membuat solat jenazah - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar


Selain itu, beberapa pemimpin tertinggi PAS turut hadir memberikan penghormatan yang terakhir antaranya, Datuk Seri Hadi Awang, Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Hadi antara pemimpin yang dilihat bersama-sama menurunkan jenazah Allahyarha ke liang lahad.

Jenazah Allahyarham Nik Aziz disemadikan bersebelahan pusara bapanya, Nik Mat Raja Banjar di Tanah Perkuburan Pulau Melaka

Nik Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir
pada usia 84 tahun di kediamannya pada pukul 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.

Nik Aziz telah mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak. Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.