Pendirian tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak akan sesekali membenarkan Pas bergabung dengan UMNO sehingga tiada sesiapa dalam kalangan Pas berani untuk menyuarakan pandangan itu.

Bahkan menurut Pengarah Jawatankuasa Operasi Pas PRK Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Nik Aziz akan meludah muka sesiapa yang berani berkata demikian.

"Tuk Guru kata siapa-siapa yang mahu ajak Pas nak bersama dengan UMNO dia kan ludah. Tiada sesiapa berani ajak Tuk Guru kalau nak jugak kerjasama dengan UMNO tunggu Nik Aziz mati" kata Wan Abdul Rahim demikian kepada pemberita di sidang media harian Pas di sini siang tadi.

Turut hadir calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim, Timbalan Pengarah Jawatankuasa Operasi Pas PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Hafiz Musa.

Katanya kebencian Nik Aziz kepada UMNO sukar dihapuskan hingga menyebabkan pendiriannya itu sukar digugat oleh sesiapa.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas akan merahsiakan terlebih dahulu lokasi ceramah perdananya bagi kempen pilihan raya kecil Dun Pengkalan Kubor yang akan dirancang akan diadakan pada 23 September depan.

Katanya Pas juga kini lebih menumpukan ceramah berkelompok, ceramah mini rumah ke rumah berbanding ceramah secara besar-besaran.