Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid telah dilantik sebagai Ketua Audit Negara baharu, berkuatkuasa 23 Februari lalu.

Perlantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang telah tamat perkhidmatannya pada 22 Februari lepas.

Menurut satu kenyataan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar hari ini, perlantikan itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan.

"Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenan perlantikan Nik Azman sebagai Ketua Audit Negara untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Nik Azman merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi Gunaan dari Universiti Malaya dan Sarjana Ekonomi dari Universiti Nebraska, Amerika Syarikat dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan hal kewangan.

“Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi, Bank Dunia Washington DC, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri,” kata Ismail.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan merakam setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Madinah atas segala khidmat bakti beliau sepanjang menjadi Ketua Audit Negara, khususnya dalam usaha mentransformasi dan menstruktur semula sistem pengauditan dan mengukuhkan sistem pengurusan kewangan kerajaan.