“Syukur Alhamdulilah.”

Itulah reaksi pengurus kedai buku Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz setelah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menggugurkan pendakwaan ke atasnya berhubung penjualan buku karya Irshad Manji.

“Berita ini adalah sesuatu yang langsung tidak di duga. Setelah mengharungi kejerihan selama tiga
tahun, saya mula hilang keyakinan bahawa perkara ini dapat diselesaikan. Saya mula percaya bahawa Ketua Pendakwa Syarie tidak mengendahkan Perintah Mahkamah Tinggi dan Rayuanyang mengarahkan tindakan terhadap saya ditarik balik.

BACA: Jawi gugurkan dakwaan ke atas pengurus Borders

“Malah saya mula tidak yakin bahawa jikapun peguam saya memberi amaran kepada Jawi, itu tidak akan membawa sebarang kesan kerana mereka mahu menjadikan saya sebagai kambing hitam,” katanya menerusi satu kenyataan.

Selain mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Jawi Paimuzi Yahya yang “mahu memulihkan imej Islam dalam hal ini” beliau turut mengucapkan terima kasih kepada majikannya.

BACA: 'Jawi, tolong lepaskan saya dari penindasan ini' - Nik Raina

Saya berterima kasih kepada majikan saya, CEO dan Pengerusi Berjaya Corporation Datuk Seri Robin Tan, pengasas Berjaya Coperation Tan Sri Vincet Tan dan COO Berjaya Books Yau Su Peng kerana menyokong saya sepanjang episod ini.

“Saya akan solat syukur di atas tamatnya perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, Nik Raina, 38, ditahan pada 30 Mei 2012 dan didakwa di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana 'menyebar dan mengedar' dengan kaedah menjual buku itu yang dikatakan telah dilarang dan diharamkan penjualannya oleh pihak berkuasa .

Beliau didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 19 Jun 2012 dan pada 22 Mac tahun lalu Mahkamah Tinggi membuka peluang perbicaraan semula kepada Berjaya Books Sdn Bhd, pemilik kedai buku Borders Malaysia.

BACA: Saya dianiaya pihak berkuasa, jadi mangsa keadaan - Nik Raina

Bagaimanapun, pada 30 Disember lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa serbuan dan rampasan buku Irshad Manji oleh Jawi di kedai buku Borders tidak sah di sisi undang-undang kerana dibuat tanpa sebarang pengumuman larangan atau pengharaman oleh pihak kementerian.

Namun pada 12 Mac lalu, Jawi mengambil keputusan untuk menghantar notis rayuan terhadap keputusan berkenaan kepada Mahkamah Rayuan Syariah sehinggalah keputusan Jawi untuk menggugurkan notis terbabit.