Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Nilai eksport sarang burung walit dijangka meningkat kepada RM3 bilion

Nilai eksport sarang burung walit dijangka meningkat kepada RM3 bilion
Sehingga kini sebanyak 11,583 premis sarang burung walit berdaftar dengan DVS, melibatkan,7,929 pengusaha dalam tempoh 10 tahun sejak 2009.
MELAKA: Nilai eksport sarang burung walit Malaysia dijangka meningkat kepada RM3 bilion menjelang akhir tahun ini, berbanding RM1.15 bilion pada tahun lepas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, ia meliputi sarang burung walit bersih (RC EBN), sarang burung walit belum bersih (RUC EBN) dan produk tambah nilai berasaskan burung tersebut, yang mendapat permintaan tinggi di China, yang mana Malaysia merupakan pengeksport kedua terbesar selepas Indonesia.
Katanya pada tahun lepas, eksport sarang burung walit dan produk berasaskan sarang burung walit mencatatkan jumlah sebanyak 5,654.7 tan metrik, meningkat sebanyak 345% berbanding tahun 2018.

"Sasaran nilai eskport sarang burung walit negara dijangka meningkat, susulan kelulusan kerajaan China terhadap pengimportan RUC EBN dari Malaysia, dan setakat ini hanya satu syarikat di Melaka mendapat kelulusan tersebut iaitu MBN Enterprise Sdn Bhd.
"Bagaimanapun kerajaan sedang menunggu laporan akhir daripada pihak berkuasa China untuk kelulusan beberapa lagi syarikat atau loji pemprosesan RUC EBN di negara ini, untuk mengeksport bahan tersebut dan keputusan akhir itu dijangka diketahui dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Konsainan RUC EBN ke China oleh MBN Enterprise.

Pada majlis itu, MBN Enterprise mengeksport sebanyak 1,010 kilogram RUC EBN ke China, dan ia merupakan konsainan terbesar syarikat berkenaan ke republik tersebut.

Mengulas lanjut Norlizan berkata, setakat ini sebanyak 34 loji pemprosesan RC EBN dan satu loji pemprosesan RUC EBN dari Malaysia, telah mendapat kelulusan eksport ke China, manakala 17 lagi syarikat RC EBN dan empat syarikat RUC EBN, masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa China.

Beliau berkata, prosedur kelulusan untuk mengeksport sarang burung walit ke China adalah ketat, dan kerajaan sentiasa membantu pengusaha untuk melepasi prosedur tersebut, termasuk kerap melakukan perbincangan dengan pihak berkuasa China, agar proses yang perlu dilalui dipermudahkan.

"Kita mengharapkan China mengiktiraf Malaysia berasaskan 'base system', yang bermaksud mana-mana loji pemprosesan sarang burung walit sama ada RC EBN atau RUC EBN, yang diberikan perakuan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Kementerian Kesihatan, akan diterima pihak berkuasa negara itu," katanya.

Menurut beliau, premis sarang burung walit yang didaftarkan di bawah DVS akan diberikan beberapa pensijilan sebagai pengiktirafan, seperti Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Sijil Perakuan Kesihatan (VHM) dan Amalan Perkilangan Baik (GMP).

Untuk rekod, sehingga kini sebanyak 11,583 premis sarang burung walit berdaftar dengan DVS, melibatkan,7,929 pengusaha dalam tempoh 10 tahun sejak 2009.

-- BERNAMA


Tag: sarang burung walit, eksport, Indonesia, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, kerajaan, burung



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.