Anggaran nilai rampasan aset di kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin mampu mengatasi kekayaan pasangan pemimpin diktator Filipina, Ferdinand Marcos dan isterinya, Imelda.

Mengikut laporan Malaysiakini yang memetik Financial Times, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar salah guna kuasa oleh kerajaan BN sebelum ini ‘sangat mengejutkan’ terutama apabila ramai pemimpin parti terbabit sibuk bercakap mengenai usaha menangani kemiskinan rakyat.

“Saya rasa kita mungkin akan mencatat rekod mengagumkan dan melebihi (harta) Imelda dan yang lain-lain,” katanya.

Kelmarin, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjaya merampas 284 beg tangan mewah, 72 beg dan bagasi mengandungi duit serta barang kemas serta pelbagai aset lain di sebuah kondominium mewah, Pavilion Residence yang ada kaitan dengan Najib dan Rosmah.

Difahamkan, polis menggunakan lima buah trak yang tiba kira-kira jam 11.45 malam ke kondominium berkenaan bagi mengambil semua barangan tersebut sebelum dimasukkan ke dalam sebuah lori.

Walau bagaimanapun, pihak polis masih belum mengesahkan nilai keseluruhan rampasan tersebut.

Selain itu, polis turut membuat serbuan di lokasi berlainan, juga kediaman Najib dan isterinya, Datin Rosmah Mansor di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Semalam pihak polis berjaya membuka peti besi yang didakwa terkunci sejak 20 tahun lalu dalam tempoh lebih 24 jam.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh berkata penggeledahan juga akan dilakukan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya bagi mendapatkan bukti yang mendakwa Najib menerima dana bernilai RM2.9 bilion, disyaki penyelewangan 1MDB.

Pasangan Marcos yang dikatakan Anwar dalam temubual berkenaan merupakan bekas pemerintah Filipina bermula 1965 sebelum mengalami zaman kejatuhan pada 1986.

Isterinya, Imelda merupakan bekas finalis ratu cantik dikatakan banyak menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan gaya hidup mewah dengan menggunakan wang rakyat.

Filipina yang sebelum ini merupakan sebuah negara kaya, menjadi miskin sepanjang 20 tahun di bawah pemerintahan Marcos.

Berdasarkan Data Transparency International, Marcos dikatakan telah merompak wang rakyat sekurang-kurangnya AS$10 bilion, termasuk barangan Imelda yang dibeli menggunakan wang rakyat.

Siasatan polis juga berjaya menemui sebanyak 3,000 koleksi kasut, 1,500 koleksi beg tangan, 1,200 gaun pereka, 1,000 beg duit dan pelbagai aset berharga lain.