SELAMAT tahun baru 2019.

Di hujung tahun semasa cuti sekolah ramai yang mengambil kesempatan mengadakan majlis pertunangan, perkahwinan dan cukur rambut dan aqiqah. Ramai juga yang mengambil kesempatan mengadakan hari keluarga atau bercuti bersama keluarga.

Bagi pasangan yang mempunyai anak yang masih bersekolah, bulan November dan Disember digunakan juga untuk balik kampong menziarah ibubapa yang kadang-kadang hanya dapat ditemui semasa cuti hari raya.

Bagi pasangan suami isteri yang telah bermenantu, masa cuti panjang digunakan untuk mengumpul anak-menantu serta cucu untuk masa santai bersama. Ini kerana dunia makin berubah dan kegiatan kekeluargaan juga melalui proses perubahan.

Zaman saya masih kecil dahulu, cuti sekolah tetap dimanfaatkan kerana arwah ayah seorang imam dan guru agama. Arwah ayah membawa kami bercuti ke Kelantan, Pulau Pinang dan Perak mengikut giliran. Kelantan, tempat arwah ayah belajar di Pondok dan arwah gunakan untuk menziarahi puasa gurunya dan rakan-rakannya sepondoknya.

Biasanya ke Kelantan semasa cuti penggal dua yang bukan musim hujan. Ke Pulau Pinang kerana ada bapa saudara ayah tinggal di Pulau Pinang, almarhom Haji Salleh Al Masri, seorang ulama yang disegani di Pulau Pinang. Ke Lumut, Perak kerana adik arwah ayah tinggal di sana kerana bekerja. Percutian kami dirancang kerana gaji arwah ayah bukan banyak.

Zaman itu arwah ayah memandu seorang diri dan belum ada lebuh raya seperti hari ini. Kami bangun pagi dan bergerak selepas solat subuh. Kami membawa bekal dan berhenti makan tengahari di tempat-tempat tertentu di tepi jalan dan solat jamak Zuhur-Asar . Pernah kereta kami rosak di tengah jalan di Perak) di perkampungan dan orang kampung ajak kami ke rumahnya sementara menunggu kereta siap.

Lama perjalanan dan kami berhimpit dalam sebuah kereta Moris yang kecil. Namun ia tidak melunturkan semangat kami untuk bercuti dan menziarahi saudara mara. Seharian hingga malam kami dalam kereta. Hanya berhenti di Masjid-masjid untuk menumpang bilik air dan solat.

Ia juga membolehkan kami mengenal saudara mara yang tinggal jauh dan kadang-kadang tidak berkesempatan berjumpa walau pun di hari raya. Selain dari ini arwah ayah sering juga mengadakan kenduri arwah dan menjemput ahli keluarga yang berdekatan datang ke rumah. Membawa doa arwah atau selamat adalah rutin di musim cuti sekolah untuk mengerat silatulrahim sesama kerabat dan jiran tetangga.

Apabila anak-anak telah berkeluarga dan berkerjaya dan arwah ayah semakin berusia, adik beradik balik bercuti di rumah arwah ayah. Kami solat berjemaah, membaca yasin dan beriadah dengan ke pantai Port Dickson dengan membawa belakan dari rumah. Akhirnya bila kami sudah ada kemampuan, kami menyewa rumah rehat atau hotel untuk berkumpul dan mengerat hubungan kekeluargaan.

Kini kehidupan berkeluarga melalui proses perubahan walaupun masih ada keluarga yang tidak berkesempatan bercuti atau berkumpul kerana tidak berkemampuan. Bagi yang mampu, mereka telah merancang percutian lebih awal kerana hotel dan rumah rehat biasanya di tempat 3 bulan lebih awal.

Ada juga membeli tiket penerbangan tambang murah enam bulan lebih awal untuk membolehkan mereka bercuti bersama keluarga di luar negara atau dalam negara tetapi tidak memandu.

Hari ini kita juga telah ada keretapi yang selesa untuk membawa kita bercuti dalam negara. Perbezaan percutian hari ini dan dahulu ialah kos percutian, tempat percutian dan sama ada percutian tersebut membawa sebarang nilai kekeluargaan untuk mengerat silatulrahim dan persaudaraan.

Keluarga hari ini telah ada kumpulan di dalam aplikasi WhatsApp masing-masing di mana ahli keluarga berinteraksi di alam maya. Kebaikan teknologi ini ialah ia digunakan untuk menghubungkan ahli keluarga walau di mana mereka berada.

Kita mengetahui perkembangan setiap ahli keluarga. Jika ada yang sakit, bersalin, hari jadi atau pun meninggal dunia, berita ini akan segera diperolehi dan tindakan cepat diambil. Kalau nak buat kenduri pun tarikh di umum awal supaya semua boleh hadir dan tidak buat kenduri secara bertindan.

Namun, keburukan kumpulan Whatsapp ini ialah berbagai bahan dimuat turun dan ada juga menimbulkan rasa tidak senang ahli keluarga. Ada kumpulan WhatsApp bergaduh kerana tidak bersetuju dengan pandangan ahli dan menggunakan Bahasa yang kasar dan lucah.

Jika ahli kumpulan itu terdiri daripada yang tua dan muda maka timbul isu adab dan kesusilaan. Walaupun pun kita tidak bertentang mata, yang tua tetap dihormati oleh yang muda.
Ada juga generasi melinium yang merasakan kumpulan WhatsApp untuk orang tua-tua sahaja dan kurang berinteraksi dalam kumpulan. Berinteraksi secara maya menyebabkan keakrapan menipis.

Apabila bercuti bersama juga, semua masih tertumpu kepada talipun genggam. Sudah kurang sesi borak-borak santai yang lebih memberi kesan. Kita makan di kedai dan tidak lagi makan masakan yang dimasak bersama. Lebih seronok jika menyewa apartmen di mana kita sama-sama memasak dan makan bersama dari makan di hotel atau kedai.

Namun generasi hari ini berpandangan tujuan utama kita ialah bercuti, maka cuti dari memasak dan sebagainya.

Percutian sudah menjadi satu amalan dalam keluarga moden di Malaysia kini. Percutian ke luar negara juga semakin meningkat. Namun ini adalah gaya hidup kumpulan menengah di Malaysia tanpa mengira bangsa.

Dalam masyarakat Melayu selain dari bercuti ke luar negara, satu lagi aktiviti bercuti ialah menunaikan umrah. Semasa cuti sekolah, sangat ramai orang Islam menunaikan umrah dan pergi bersama ahli keluarga masing-masing. Ada yang berbulan madu dengan menunaikan umrah. Ini juga satu nilai baru dalam kehidupan kelas menengah Islam di Malaysia.

Sesuatu yang baik namun ada juga keburukannya kerana ada anak-anak yang belum bersedia untuk menunaikan umrah. Mereka hendak bercuti, pergi ke tempat lain untuk melihat negeri orang dan bukan untuk beribadah. Akhirnya umrah menjadi satu percutian sahaja dan hilang nilai keagaamaannya yang suci itu.

Ada orang mesti pergi setiap tahun atau dua tahun sekali kerana mampu sedangkan ada saudara maranya yang tidak mampu menunaikan umrah. Kenapa tidak yang mampu menaja yang tidak mampu menunaikan umrah kerana pahalanya sama seperti dia sendir menunaikan umrah? Semangat dan kefahaman mengenai hal itu belum dapat didalami oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Kenduri kendara juga menggunakan khidmat katerer yang mana tiada lagi sesi rewang atau memasak secara gotong royong. Sebenarnya semasa masak bersama itu lahir senda gurau dan gelak ketawa. Itulah yang akan menjadi kenangan kita sekeluarga sampai bila-bila.

Apabila majlis perkahwinan tidak ada lagi dibuat secara rewang, masing-masing datang hanya semasa masa jamuan atau majlis akad nikah mengikut jemputan sama seperti tetamu, maka hubungan kekeluargaan itu tidak seerat dahulu. Kita juga tiada kenangan yang ingin kita simpan sampai bila-bila.

Saya teringat semasa kakak ke-empat saya berkahwin, lembu yang siap berikat untuk disembelih terlepas dan satu kampung datang tolong menangkap semula lembu yang hendak dijadikan juadah di hari kenduri. Sebelah malamnya kita makan sup tulang dan mengkukus pulut dan kuih koci.

Kita memang penat dan tidur lewat tetapi kita gembira dapat bersama ahli keluarga meraikan kegembiraan keluarga menerima menantu.

Hari ini, kita disibukkan dengan berbagai urusan sehingga kenduri kahwin saudara-mara kita tidak sempat untuk hadir sama. Ada juga yang membuat kenduri di hotel dan jemputan hanya untuk sepasang suami isteri, maka anak-anak tidak dijemput sama.

Akhirnya anak-anak juga tidak kenal sepupu dan saudara mara. Kenduri perkahwinan yang sekarang ini memakan belanja yang tinggi semakin mendapat tempat di hati masyarakat Islam di Malaysia. Sanggup menangguh majlis kerana mahu kenduri yang gah atau grand. Ada orang berbelanja beratus ribu hanya untuk satu majlis perkahwinan atas alasan ia berlaku sekali seumur hidup dan mahu ia menjadi kenangan yang abadi.

Namun kita tahu, ramai yang bercerai dalam tempoh tiga tahun pertama perkahwinan . Bukan sahaja majlis tersebut membazir wang, ia juga tidak melahirkan sebarang nilai baik untuk keluarga . Sebagai orang Islam Rasulullah SAW sendiri tidak menggalakan perbelajaan yang membazir untuk mahr dan walimah atau kenduri.

Orang Islam di Malaysia perlu kembali kepada konsep perkahwinan dalam Islam dan berhenti mengadakan majlis perkahwinan yang menelan belanja yang tinggi. Sebab itu lah juga ramai anak- anak lelaki hari ini berkahwin pada usia 29 tahun (menurut LPPKN). Sebagai orang Islam, kita perlu kembalikan nilai Islam dalam kita bercuti dan mengadakan majlis kenduri perkahwinan.

Semoga 2019 akan menjadi lebih makmur dan bahagia buat semua keluarga Islam di Malaysia.

______________________________________________________________________________________

* Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal merupakan Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga pakar undang-undang keluarga, wanita dan kanak-kanak.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI