Tutup

NIOSH gesa baiki isu keselamatan dan kesihatan bencana

NIOSH gesa baiki isu keselamatan dan kesihatan bencana
LEE: Terdapat juga keperluan untuk rakyat Malaysia terlibat secara aktif dalam latihan keselamatan seperti apa yang dilakukan di Jepun dan Korea Selatan. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beri tumpuan menguruskan isu keselamatan dan kesihatan serta mengurangkan risiko bencana demi kepentingan keselamatan awam dan kesejahteraan rakyat, kata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata, pengalaman berlakunya tsunami pada tahun 2004, yang mengakibatkan kejadian tanah runtuh, cerun bukit runtuh dan lubang benam menunjukkan adanya keperluan mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko akibat bencana.
"Walaupun kita tidak menghadapi gempa bumi dan ribut taufan seperti negara-negara jiran, kita masih hadapi pelbagai bentuk bencana alam sekitar walaupun pada skala yang lebih kecil.

"Oleh sebab itu, terdapat keperluan untuk kita perkuatkan atau mempertingkatkan usaha kita bagi meminimumkan risiko yang akan kita hadapi," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Lee berkata, sebagai usaha ke arah pengurangan risiko, adalah penting pemeriksaan keselamatan dilakukan lebih kerap oleh pelbagai pihak berkuasa ke atas kawasan lereng bukit, sungai, lautan dan kawasan berisiko lain terutama di kawasan berpenduduk dan tarikan pelancong.

Katanya, adalah tidak kurang pentingnya untuk meningkatkan pemeriksaan ke atas alam sekitar untuk melihat potensi risiko yang boleh menyebabkan bencana, mempunyai budaya penyelenggaraan yang baik dalam pembangunan infrastruktur di negara ini dan untuk memperbaiki atau menaik taraf semua sistem amaran awal tsunami dan bencana alam yang lain dari masa ke semasa.

"Terdapat juga keperluan untuk rakyat Malaysia terlibat secara aktif dalam latihan keselamatan seperti apa yang dilakukan di Jepun dan Korea Selatan, supaya rakyat lebih bersedia untuk menghadapi bencana jika ia berlaku," katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa anggota pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan agensi lain yang terlibat dalam operasi menyelamat harus merebut peluang untuk menyertai program latihan penyelamatan bencana dan operasi sebenar di luar negara, supaya mereka dapat belajar dan mendapat pengalaman serta kemahiran baharu.

"Sekiranya kita mengambil bahagian dalam misi menyelamat, kita akan dapat pengetahuan yang tidak ternilai yang dapat membantu semasa misi menyelamat kita pada masa yang akan datang," katanya sambil berkata, sebagai contoh operasi meyelamat pelbagai negara di Tham Luang, Chiang Rai, Thailand yang berjaya menyelamatkan 13 remaja dan jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap di dalam gua.

Malaysia juga, katanya, perlu meningkatkan lagi kerjasama dan mengukuhkan rangkaian dengan negara-negara lain sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengurangkan kejadian bencana dan bagaimana meminimumkan kesan dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang berkesan.

-- BERNAMA