Tutup

Nisbah hutang isi rumah susut kepada 83 peratus pada 2018

Nisbah hutang isi rumah susut kepada 83 peratus pada 2018
Nisbah hutang isi rumah susut kepada 83 peratus pada tahun lepas berbanding 84.3 peratus pada 2017. Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susut kepada 83 peratus pada tahun lepas berbanding 84.3 peratus pada 2017, seiring dengan langkah kehematan makro dalam mengukuhkan daya tahan isi rumah.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pertumbuhan hutang isi rumah pada 2018 terus perlahan pada 4.7 peratus, didorong terutamanya oleh pertumbuhan lebih perlahan dalam pinjaman yang diberikan oleh institusi kewangan bukan bank.

"Kualiti hutang isi rumah kekal utuh, dengan risiko sebahagian besarnya terhad kepada pinjaman untuk pembelian harta tanah bernilai tinggi dan pembiayaan peribadi," kata BNM dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut bank pusat itu, pinjaman harta kediaman kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan hutang isi rumah meskipun pemberian pinjaman terhad disebabkan kemampuan untuk memiliki rumah yang berkurangan, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah hingga sederhana.

Sementara itu, pinjaman untuk pembelian sekuriti mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, disokong oleh prestasi dana Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) yang terus menawarkan pulangan menguntungkan.
Katanya, secara agregat, isi rumah terus berupaya untuk mengurus pembayaran balik hutang mereka, disokong oleh pertumbuhan pendapatan dan guna tenaga.

"Nisbah aset isi rumah kepada hutang terus tinggi pada tahap empat kali. Aset kewangan isi rumah berkembang pada kadar yang lebih perlahan pada tahun 2018 tetapi terus mengatasi kadar pertumbuhan hutang.

"Pengembangan aset kewangan yang lebih perlahan ini mencerminkan penilaian pemegangan ekuiti dan dana unit amanah yang lebih rendah, dalam keadaan prestasi pasaran ekuiti yang lebih lemah pada tahun 2018," kata BNM.

Dalam pasaran harta tanah pula, pertumbuhan harga rumah terus reda dalam keadaan permintaan yang lebih lemah bagi harta tanah berharga tinggi yang masih tidak mampu dibeli oleh kebanyakan pembeli dan aktiviti dalam pasaran perumahan yang kurang memberangsangkan pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Keadaan ini menyumbang kepada pelarasan bekalan perumahan ke arah segmen yang lebih mampu milik.

Prestasi kewangan sektor perniagaan pula merosot sedikit pada 2018, dengan syarikat dalam sektor berkaitan minyak dan gas, harta tanah dan pembinaan berhadapan dengan rintangan, tetapi keadaan ini tidak akan memberikan kesan yang ketara terhadap kestabilan kewangan domestik.

"Faktor-faktor yang menyokong profil risiko peminjaman luaran korporat yang lebih rendah - iaitu bahagian peminjaman yang mempunyai tempoh jangka panjang yang besar, dilindung nilai daripada risiko mata wang, dan terdiri daripada pinjaman antara syarikat dan kredit perdagangan - mengehadkan lagi risiko kepada kestabilan kewangan yang lebih meluas," katanya.

Dalam pada itu, BNM berkata ujian tekanan kesolvenan berbilang tahun yang dijalankannya terus mengesahkan daya tahan bank dan penanggung insurans di bawah simulasi senario tekanan makroekonomi dan kewangan yang teruk.

"Kedudukan modal bank dan penanggung insurans kekal melebihi jumlah minimum pengawalseliaan sepanjang tempoh tekanan," katanya.

Bagi tahun 2019, BNM berkata risiko kepada kestabilan kewangan domestik dinilai sebagai stabil merentas sektor dan bidang risiko yang berbeza.

"BNM terus lebih berwaspada terhadap kadar dan tahap pengumpulan hutang serta perilaku kesanggupan mengambil risiko untuk menghalang peningkatan kelemahan yang boleh mendedahkan sistem kewangan kepada risiko pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

Tag: Bank Negara Malaysia, KDNK, Bank Negara, hutang isi rumah, Laporan Kestabilan Kewangan, Sistem Pembayaran 2018, Amanah Saham Nasional Bhd


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.