Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di sekitar Selangor sejak beberapa hari lalu berpunca dari kegagalan kerajaan Selangor untuk mengurus air dengan cekap.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata kelalaian kerajaan negeri Selangor menyebabkan lebih 300,000 isi rumah di daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat terjejas teruk.

Beliau yang ditemui sewaktu majlis pengagihan air anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini berkata kerajaan negeri harus berhenti menyalahkan pihak lain kecuali diri sendiri.

"Pengurusan air Selangor itu sendiri, pengurusan teratas tak ada pengalaman menguruskan air sebab orang yang ada pengalaman dah diberhentikan dan ditukar-tukar.

"Bila tukar pegawai, jadi kelam kabut. Kedua, maklumat lewat. rakyat tak tahu. Kalau Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), rakyat tahu awal. tindakan pun lambat, ada 75 tanker tapi beroperasi 50 tanker.

"Kemudian pengurusan sungai, kenapa tak tegas, kalau gerai-gerai orang nak cari makan hari-hari roboh, buat apa pula persatuan, cinta sungai, alam sekitar tapi setakat persatuan sahaja kerajaan negeri yang ada kuasa tak mengambil tindakan tegas ke kilang-kilang yang boleh beroperasi di tepi sungai, apa maknanya," katanya.

Tambah Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, beliau akan membawa isu gangguan bekalan air negeri itu ke Parlimen untuk dibincangkan di peringkat nasional.

Jelasnya, ia mungkin adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut yang sering membelenggu penduduk Selangor sejak beberapa tahun yang lalu.

"Saya akan bawa isu ini ke kabinet untuk diperdebatkan. Masalah negeri seperti air pasang pernah dibawa ke Parlimen sebelum ini seperti isu air besar di pantai jadi saya rasa tiada masalah yang kerajaan persekutuan boleh menyelesaikan masalah ini," katanya.

Beliau menjelajah daerah Semenyih untuk mengagihkan air minuman di 10 lokasi termasuk sekolah-sekolah asrama dan kawasan rumah.

Gangguan bekalan air di empat kawasan di sekitar Selangor dipercayai berpunca dari penutupan loji rawatan air sungai Semenyih yang disebabkan pencemaran sungai Semenyih.