Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad tidak melanggar mana-mana kod tatalaku apabila meletakkan perakam suara ke dalam bekas pensil milik pegawai atasannya semasa mesyuarat penyelarasan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, Nor Salwani, 52, merupakan sebahagian daripada pasukan audit JAN dan beliau sepatutnya mengambil catatan tetapi telah disuruh keluar daripada mesyuarat pada 24 Februari 2016 kerana tidak cukup ruang.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian semasa disoal ketua pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam pemeriksaan utama pada hari kelima perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Sri Ram: Apa fungsi beliau?

Ambrin: Beliau sepatutnya mengambil nota kerana mesyuarat berkenaan membincangkan perkara penting. Terdapat arahan beliau perlu mengikuti semua mesyuarat audit (laporan audit 1MDB).

Rakaman suara mesyuarat berkenaan yang dikaitkan dengan pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah dimainkan di Mahkamah Tinggi minggu lepas.

Ambrin turut disoal Sri Ram mengenai pertemuannya dengan Najib pada 22 November 2016 di Pejabat Perdana Menteri.

“Najib melalui bekas Ketua Setiausaha Sulitnya (Tan Sri Shukry Mohd Salleh) memanggil mesyuarat itu untuk membincangkan isu-isu dalam laporan audit dan saya mengambil peluang untuk memaklumkan beliau (Najib) tentang versi berbeza penyata kewangan. Datuk Seri Najib memberi jaminan bahawa akan mencari sebab sebenarnya," katanya.

Sri Ram: Apabila beliau (Najib) berkata: "I will get to the bottom of it" (akan mencari sebab sebenarnya), kamu percaya beliau?

Ambrin: Beliau Perdana Menteri, tidak ada sebab untuk tidak mempercayainya.

Ambrin mengakui tidak pernah menerima pengesahan sama ada Najib sebenarnya ‘mencari sebab sebenar’.

Ambrin berkata, beliau merasa ditipu apabila mendapati laporan polis tidak pernah dibuat walaupun jaminan daripada Najib, berhubung dua penyata kewangan yang berbeza yang tidak dimasukkan dalam laporan akhir 1MDB.

"Saya tidak tahu sama ada Najib benar-benar mencari sebab sebenar perkara berkenaan pada masa itu tetapi saya merasa ditipu, kerana saya diberi jaminan olehnya.

"Atas andaian itu, saya bersetuju untuk menggugurkan kedua-dua versi (penyata kewangan 1MDB) daripada laporan (audit akhir 1MDB)," katanya.

Najib,66, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan bersambung hari ini. - Bernama