Banyak perkara yang telah berubah di Malaysia, terutama sekali mengenai dasar yang diamalkan kerajaan baharu dalam pengurusan kewangan, serta penambahbaikan inisiatif ke arah memerangi rasuah, kata Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde,

Namun satu perkara yang tidak berubah sejak kali terakhir beliau datang ke Malaysia , menurut Lagarde, ialah Bank Negara Malaysia masih diketuai seorang wanita iaitu Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Kali terakhir Lagarde datang ke sini, ialah sewaktu Bank Negara di bawah Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, yang telah bersara pada 2016 dan kini merupakan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Saya sangat berbesar hati dapat kembali ke Malaysia. Banyak perkara telah berubah sejak kali terakhir saya datang ke sini...tetapi satu perkara yang tidak berubah ialah Gabenor Bank Negara masih seorang wanita (Nor Shamsiah). Tahniah untuk anda dan tahniah di atas kerja luar biasa anda.

“Kami sangat berbangga untuk meraikan pencapaian Nor Shamsiah, dan dari perspektif IMF, kami merasakan beliau telah melakukan perkara yang benar-benar dalam jangkaan, dan keperluan kami, terutamanya dalam memastikan kestabilan kewangan untuk negara,” katanya dalam satu sidang media khas sempena lawatan beliau ke Bank Negara hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan pembukaan sidang media berkenaan, Nor Shamsiah berkata, Lagarde telah meletakkan standard yang sangat tinggi untuk kaum wanita, kerana beliau merupakan Menteri Kewangan wanita pertama untuk kumpulan G8, serta wanita pertama mengetuai IMF.