Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Norma baharu bekerja secara fleksi

Norma baharu bekerja secara fleksi
Sejak PKP dikuatkuasakan, bekerja dari rumah jadi norma baharu bagi kebanyakan pekerja termasuk wanita. Namun, ia menjadi lebih mencabar apabila bekerja dari rumah diselangi dengan tanggungjawab domestik yang lain. - Gambar hiasan/BERNAMA
MALAYSIA kini telah memasuki fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka akan berakhir pada 12 Mei 2020. Fasa pertama merupakan fasa kejutan sehingga mendorong pembelian panik dalam kalangan rakyat.

Ia berikutan arahan kerajaan berhubung penutupan kesemua jenis perniagaan kecuali beberapa sektor perkhidmatan penting seperti pembekalan makanan, perbankan dan kewangan, serta penjagaan kesihatan dan perubatan.
Dalam pada itu, pengumuman PKP fasa pertama menimbulkan pelbagai keresahan dalam kalangan majikan. Pengumuman PKP bukan hanya menyebabkan syarikat kehilangan pendapatan, malah mereka perlu menanggung kos operasi syarikat khususnya pembayaran gaji pekerja.

Hal ini telah mendorong majikan untuk memikirkan apakah tugasan pekerjaan yang boleh pekerja lakukan dari rumah.
Hari ini dalam perutusan khas Perdana Menteri bersempena sambutan Hari Pekerja 2020, beliau mengumumkan pembukaan hampir kesemua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan bermula 4 Mei 2020.

Namun pihak majikan dikehendaki untuk mematuhi syarat-syarat dalam SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Beliau turut mencadangkan pelaksanaan bekerja secara fleksi sebagai salah satu norma baharu.

Sebenarnya konsep bekerja dari rumah bukanlah fenomena baharu. Ia merupakan satu bentuk pengaturan kerja fleksi yang bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi organisasi. Malah ia boleh meningkatkan kepuasan kerja khususnya dalam kalangan wanita berkeluarga yang berkerjaya.

Pengaturan kerja fleksi juga merujuk kepada waktu bekerja fleksi, perkongsian kerja, penggiliran kerja, pemampatan minggu kerja, kerja hujung minggu, pertukaran syif kerja, tugasan kerja berasaskan projek dan sebagainya.

Di Malaysia, elemen fleksibiliti telah mula diamalkan sejak tahun 1998, apabila kerajaan memperkenalkan Waktu Kerja Berperingkat (WBB) di seluruh agensi Kerajaan Persekutuan. Ia kemudiannya ditambah baik dengan pengenalan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) pada tahun 2019.

Secara ringkasnya, WBF yang diamalkan oleh agensi Kerajaan merupakan masa bekerja yang fleksibel. Para pegawai mempunyai fleksibiliti untuk hadir bekerja dalam tempoh masuk dan waktu pulang yang ditetapkan, dengan syarat memenuhi tempoh bekerja sehari.

Namun begitu, kenyataan TalentCorp Malaysia pada tahun 2016 menjelaskan bahawa masih kurang syarikat swasta di Malaysia, kecuali syarikat multinasional yang mengamalkan pengaturan kerja fleksi jika dibandingkan dengan di negara membangun yang lain.

Perkara yang sering dibangkitkan oleh majikan ialah pengaturan kerja fleksi akan menyebabkan produktiviti menurun, sedangkan dapatan kajian di Finland, United Kingdom, Amerika Syarikat dan China menunjukkan sebaliknya.

Memetik kenyataan artikel BBC tahun 2019, pekerja di negara-negara tersebut menjadi lebih produktif apabila mereka dapat mengimbangi antara tuntutan kerja dengan keluarga dengan lebih berkesan, malah dilaporkan kurang mengambil cuti sakit.

Menurut sebuah kertas polisi OECD berkaitan amalan fleksibiliti pada tahun 2016, pengaturan kerja fleksi dapat meningkatkan keberkesanan organisasi dan merupakan sistem kerja yang lebih adil untuk semua pekerja.

Ini kerana setiap pekerja mempunyai personaliti, keperluan, kekangan, dan cara bekerja yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Malah, pengaturan kerja fleksi berupaya meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam pasaran kerja di Malaysia.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (2019), kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.1% berbanding sebelumnya.

Namun begitu, angka tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan kadar penyertaan tenaga buruh lelaki iaitu sebanyak 81.1%. Ini menunjukkan bahawa golongan wanita hanya mewakili sebanyak 39.2% daripada penyertaan tenaga buruh keseluruhan.

Ironinya, Indeks Jurang Gender Malaysia (2019) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan golongan wanita mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi di semua peringkat pengajian, dan jangka hayat yang lebih lama berbanding lelaki.

Sebenarnya, pengaturan kerja fleksi khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah akan membolehkan wanita bekerja bagi menambah pendapatan keluarga.

Pada masa yang sama, mereka masih dapat menguruskan keluarga dengan baik dan mengurangkan perbelanjaan seperti kos penjagaan anak yang semakin meningkat.

Oleh yang demikian, pengaturan kerja fleksi merupakan suatu strategi bagi meningkatkan penyertaan wanita ke dalam pasaran kerja. Ketidakhadiran kerja atas alasan urusan keluarga akan dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan kadar produktiviti organisasi.

Sejak PKP dikuatkuasakan, bekerja dari rumah telah menjadi norma baharu bagi kebanyakan pekerja termasuklah pekerja wanita. Namun, ia menjadi lebih mencabar apabila bekerja dari rumah diselangi dengan tanggungjawab domestik yang lain.

Pihak majikan pula kerapkali mengingatkan pekerja bahawa mereka sedang bekerja dari rumah iaitu daripada sekian waktu ke sekian waktu. Hakikatnya ia merupakan jangkaan yang sukar untuk dicapai oleh pekerja wanita yang berkeluarga.

Sewajarnya pihak majikan meluaskan skop pengaturan kerja fleksi yang melibatkan bekerja dari rumah dan pelaksanaan waktu kerja fleksi atau pemampatan minggu kerja. Kelonggaran harus diberikan kepada pekerja untuk membuat pilihan hari bekerja dalam seminggu agar agihan tugas rumahtangga dapat diuruskan dengan sebaiknya.

Ini membolehkan pekerja mengatur jadual kerja dengan lebih baik tanpa rasa tertekan. Ini juga dapat mengelakkan pergaduhan antara suami isteri, melepaskan perasaan marah kepada anak-anak, penggunaan gajet yang berlebihan dalam kalangan anak-anak dan sebagainya.

Selain itu, pihak majikan perlu memberikan sasaran kerja yang jelas, boleh diukur, dan boleh dicapai oleh pekerja. Perbincangan boleh dibuat bagi mendapatkan input daripada pekerja tentang skop pekerjaan dan output yang boleh dihasilkan.

Hakikatnya pekerja mahukan jaminan pekerjaan dan jaminan gaji, serta merasai keberkatan rezeki. Sekiranya diberikan ruang dan peluang, pastinya wanita berkeluarga mampu menyumbang kepada organisasi agar pendapatan dan kedudukan mereka tidak terjejas.

Majikan masih boleh memantau pekerja menerusi pelaporan sasaran dan output kerja harian, sistem senarai semak kerja, perkongsian dokumen, fail, kalendar secara atas talian, mesyuarat berkala, dan lain-lain. Malah majikan boleh mendapatkan khidmat nasihat berkenaan pengaturan kerja fleksi daripada TalentCorp melalui inisiatif flexWorkLife.

Kesimpulannya, kepercayaan majikan terhadap pekerja merupakan pemangkin bagi pelaksanaan pengaturan kerja fleksi. Ia perlu disokong oleh sistem kerja yang jelas, struktur organisasi yang mendatar, dan budaya organisasi yang mengutamakan Kualiti Kehidupan Bekerja. Pengaturan kerja fleksi mampu menjadi norma baharu selepas PKP berakhir agar golongan wanita khususnya dapat menyumbang dalam pasaran kerja dan pembangunan negara.



*Dr. Rabeatul Husna Abdull Rahman adalah pensyarah kanan di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, UTM sejak tahun 2007.

**Beliau aktif dalam penulisan, penyelidikan, serta perundingan dalam bidang Pembangunan Polisi Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia.

***Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.