Syawal yang menjelang tiba sering dinanti untuk dipertemukan dengan orang tersayang.

Namun, apakan daya tahun ini bakal merubah senario Aidilfitri buat julung kalinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri dikuatkuasakan.

Walaupun terpaksa berpisah ratusan kilometer dengan insan tersayang, bagi Basah Abdul Rahim, 64, dari Kampung Pida 5, dia pasrah menghadapi Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam normal baharu.

Basah yang tinggal bersama anak bongsu Nor Azzawani Syuib, 29, membuat persiapan ala kadar sahaja.

Mujurlah Nor Azzawani bersama suami Azreen Hafifi Jamaluddin serta dua anak mereka tinggal bersama Basah.

Setidaknya dapatlah menjadi pengubat rindu di kala Aidilfitri yang bakal disambut esok.

Kesedihan terpancar di wajah Basah yang merindui anak dan cucunya yang berada di perantauan.
Jelas Nor Azzawani, dua lagi abangnya menetap di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tidak dapat pulang sebagai mematuhi arahan tidak merentasi sempadan.

Namun, bagi Nor Azzawani, itu bukanlah masalah yang besar kerana wujud kemudahan teknologi panggilan video yang boleh menjadi penghubung dan pengubat rindu seisi keluarga.

Kemudahan teknologi panggilan video yang boleh menjadi penghubung dan pengubat rindu seisi keluarga.
"Persiapan raya tahun ini memang tak ada apa sangat nak dibandingkan dengan tahun-tahun yang lepas. Memang banyak berbeza.

"Memang mereka akan balik bergilir; memang tak pernah miss lah.

"Tapi tahun ini, memang mereka tak dapat balik. Tak mengapa, demi keselamatan kita semua.

"Jadi kita berayalah di rumah masing-masing tahun ini. Tahun depan kita jumpa lagi, insya-Allah," kata Nor Azzawani.

Kesedihan itu terpadam seketika tatkala si ibu yang merindui anak dan cucu dapat menatap wajah dan mendengar ucapan hari raya.

Bagi Azzawani, rasa sedih ketiadaan dua abangnya Mohd Azwan Syuib, 36, dan Mohd Azril Syuib, 41, pada Aidilfitri kali ini terpaksa disembunyikan daripada ibunya.

Dia akan melakukan rutin persiapan hari raya seperti kelaziman dengan memasang pelita dan membuat ketupat dan rendang walaupun hanya disambut mereka berlima di rumah pusaka peninggalan arwah ayahnya ini.

Azzawani melakukan rutin persiapan hari raya seperti kelaziman dengan memasang pelita dan membuat ketupat dan rendang.
Bagi Nor Azzawani, tahun ini merupakan tahun kedua mereka beraya tanpa ayah yang meninggal akibat sakit tua.