Buat pertama kali dalam sejarah badan kehakiman negara, pendengaran kes di Mahkamah Rayuan akan disiarkan secara langsung dalam talian, bermula pada Khamis.

Kenyataan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, menyebut langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengikuti prosiding pendengaran kes di mahkamah terbuka selain memastikan akses kepada keadilan berterusan.

Menurut kenyataan itu lagi, siaran langsung pertama pendengaran secara dalam talian itu akan bermula pada pukul 10 pagi.

"Orang ramai boleh mengikuti pendengaran kes secara langsung menerusi portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia di pautan www.kehakiman.gov.my," kata kenyataan itu di sini pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan, badan kehakiman telah menjalankan beberapa pendengaran kes secara dalam talian.

Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, mahkamah masih boleh mendengar permohonan reman, pendakwaan kes baharu, semakan keputusan mahkamah rendah dan pengurusan kes biasa.