Sememangnya Aidilfitri pada tahun ini memberi kesan mendalam kepada seluruh umat Islam di negara ini, termasuk kanak-kanak, yang biasanya setiap kali tiba Syawal, merekalah yang paling teruja menyambutnya.

Masakan tidak, kali ini, tidak seperti kelazimannya, mereka tidak dapat mengunjungi rumah ke rumah untuk mengutip duit raya.

Kebiasaannya, sambutan di kawasan kampung amat meriah, namun normal baharu dalam sambutan tahun ini membataskan pergerakan Iaman Qistina Jamal, 10 tahun, dan Ummar Wafiy Md Ismail, 11 tahun.

Selalunya mereka akan bersiap mengenakan pakaian baharu dan akan pusing ke serata kampung untuk mengutip duit raya namun pada 2020, segalanya berbeza.

“Raya tahun ini tak best sebab tak dapat kutip duit raya, dan nak keluar pun takut ada COVID-19 yang merebak,” kata Ummar Wafiy.

Gambar Astro AWANI

Begitupun, bagi golongan dewasa, normal baharu perlu diimplimentasi dalam kehidupan mereka dengan tiada budaya kunjung-mengunjung dan aktiviti ziarah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagi peniaga Mohd Wazir Wahab, 46 tahun, suasana kali ini amat berbeza kerana adik-beradik serta saudara-mara yang berada di perantauan tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri bersama.

“Suasana nampaknya tak semacam tahun lepas. Semua pun masing-masing ikut peraturan yang kerajaan tetapkan. Di rumah, yang datang hanya saudara terdekat saja, itu pun tak melebihi 10 orang.

“Mereka datang ke rumah secara berselang-seli tapi tetap tidak lebih 10 orang pun. Tahun ini memang terasa kelainannya, dengan suasana budak-budak pun tiada,” katanya.

Bagi Mohd Rizuwan Abu Bakar, 30 tahun, sebagai masyarakat desa, mereka berharap pandemik itu akan berlalu dengan cepat dan kemeriahan Aidilfitri akan dapat disambut seperti tradisi sebelum ini.

“Tahun ini kurang seronok sikit sebab tak ramai datang rumah. Jadi, kemeriahan itu kurang. Selalunya budak-budak pun ramai, tapi kali ini agak kurang.

“Kalau boleh, kita nanti pakat-pakat kawal supaya benda ini hilang, dan di masa yang akan datang, kita boleh raya macam biasa semula,” katanya.

Kerajaan memberi kelonggaran pada hari pertama sambutan Aidilfitri dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), antaranya ziarah terhad kepada 20 ahli keluarga terdekat, mengamalkan jarak sosial dan menjaga kebersihan.

Perintah larangan itu juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada umat Islam di negara ini mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga menerusi solat sunat Aidilfitri dan penyampaian khutbah di kediaman masing-masing.