Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang juga antara entiti yang dikatakan menerima wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjelaskan bahawa wang yang diterima adalah bayaran bagi khidmat penerbitan dan jualan buku, tanpa mengetahui sumber asal wang itu.

ITBM dalam kenyataan berkata, perkhidmatan itu dilaksanakan menerusi permintaan pelanggan iaitu Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri ketika itu, dan pembayaran yang diterima adalah urusan jual beli biasa mengikut prosedur yang menjadi amalan bagi mendapatkan produk dan khidmat yang ditawarkan ITBM.

"Secara kronologinya, pada 2011, ITBM telah menerima permintaan untuk mendapatkan khidmat penerbitan dan jualan buku dengan jumlah RM365,000 dan RM610,000 yang disalurkan oleh pelanggan.

"Sebagai agensi kerajaan yang turut melaksanakan kerja-kerja penerbitan buku, ITBM telah menerima dan melaksanakan permintaan pelanggan berkenaan mengikut prosedur kerja dan pembayaran biasa yang diamalkan oleh ITBM, serta telah melaksanakan kerja-kerja penerbitan seperti yang dipersetujui mengikut tempoh yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

BACA:80 individu, entiti terima notis kompaun RM420 juta

Khidmat yang dipersetujui melalui urusan ini juga dilaksanakan dengan kaedah beli semula yang mana buku yang diterbitkan dibekalkan semula kepada pelanggan untuk jualan terus dan edaran kepada umum.

"Kaedah yang sama turut diguna pakai bagi pelanggan yang mendapatkan khidmat penerbitan dan jualan buku ITBM," menurut kenyataan itu

ITBM juga telah dipanggil dan memberi keterangan mengenai perkara itu kepada pihak berkuasa bagi Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram (AMLA) pada Julai dan Ogos 2018 serta Julai tahun ini.

"Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas atau tindakan lanjut yang dimaklumkan. Sehingga hari ini ITBM masih belum menerima apa-apa notis rasmi berkenaan perkara ini daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sedia memberikan kerjasama untuk penjelasan lanjut, jika diperlukan," menurut ITBM.

SPRM pada Isnin mengeluarkan senarai 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata mereka yang menerima kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) itu diberikan tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.

-- BERNAMA