Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandaraya Islam (MPKB BRI) mengedarkan sebahagian notis meminta kerjasama peniaga dan pengusaha restoran menghentikan sementara perniagaan bermula dari jam 8.30 hingga 10 malam.

Menurut yang Dipertuanya, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf notis berkenaan telah pun diedarkan bermula Jumaat kepada sebahagian peniaga kedai makan dalam kawasan pentadbiran MPKB BRI melibatkan kedai berhampiran masjid.

Beliau menjelaskan, notis berkenaan bukan berbentuk arahan atau paksaan itu sebaliknya meminta kerjasama peniaga kedai makan.

“Kami hanya edarkan surat kepada kedai berhampiran masjid sahaja. Kami tidak mahu keadaan riuh rendah apabila mula mengedarkan surat tersebut.

“Setakat ini kami sudah edarkan sebanyak mungkin khususnya kedai makanan yang berdekatan dengan kawasan masjid,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Tambahnya lagi notis berkenaan bukannya satu ketetapan peraturan pihak berkuasa tempatan sebaliknya ia diperkenalkan bagi tujuan mendidik.

Sementara itu, peniaga restoran menjelaskan mereka masih keliru dengan notis berkenaan.

Ia kerana sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan perkara tersebut masih awal dan berada di peringkat pentadbiran yang masih memerlukan kajian untuk dikuatkuasakan.

“Saya berpendapat sekiranya perkara ini dilaksanakan, kami peniaga pada bulan Ramadan akan terkesan.

“Ini kerana pada bulan mulia inilah peluang kami untuk menjana lebih pendapatan. Dengan pendapatan ini juga kami perlu membayar gaji pekerja dan sewa kedai,” jelasnya.

Tegasnya notis itu akan menyukarkan peniaga dan mendapat reaksi kurang senang daripada golongan itu.