Program Nak Ubah Hidup (NUH) 2020 bertujuan membantu usahawan atau bakal usahawan untuk meningkatkan tahap potensi diri, tahap kehidupan dan kewangan melalui perniagaan yang berjaya dan menguntungkan.

Pakar Pemasaran Nombor Satu Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkata, ia sekali gus usaha mengelakkan usahawan yang tidak mampu bertahan sehingga mengalami kerugian dan menanggung beban muflis akibat perniagaan tidak berjalan lancar.

"Kerisauan pertama apabila orang hendak berniaga tetapi tidak tahu cara yang betul. Terlalu ramai yang hendak berniaga, dia buat silap dan rugi walaupun kerajaan bantu beri sumber kewangan.

"Tetapi bila dia tidak ada jalan betul, strategi yang betul, akhirnya dia tidak boleh bayar dan capai apa impian dia malah menangung hutang, saya rasa itu bukanlah cara tepat.

"Apa yang betul, dalam 12 tahun ini, kita pastikan mereka tahu cara hendak pilih perniagaan, produk, pasarkan dan menjalankannya dengan teratur. Apa yang bagusnya juga kita sudah ada ramai contoh individu berjaya dan menjadi contoh kepda yang lain," katanya semasa sidang media NUH 2020 di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu kata Azizan yang juga pengasas syarikat Richworks International Sdn Bhd, seramai 560,000 usahawan dalam dan luar bandar sudah dibantu sepanjang program itu berlangsung.

Jelasnya, paling penting adalah keinginan usahawan itu sendiri untuk berjaya selain sanggup belajar untuk dibimbing melalui pelbagai platform atas talian termasuk percuma yang disediakan.

Tambahnya, misi mereka adalah membuka jalan usahawan Malaysia masuk ke Indonesia melalui beberapa program yang melibatkan pakar dari dalam negara.

Azizan mengharumkan nama Malaysia pada tahun lepas apabila mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi penganugerahan Top 50 Marketing and Advertising Leaders di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau merupakan anak Melayu tempatan sulung yang mendapat anugerah global Top 50 Marketing and Advertising Leaders sempena Persidangan Industri Pemasaran dan Pengiklanan Dunia, MADcon: Global Marketing Conference (MADcon Dubai 2019).